Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kata sepakat mengenai sistem pengambilan pekerja Bangladesh dijangka dicapai pada Ogos


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Bangladesh menjangkakan untuk mencapai kata sepakat dengan Malaysia mengenai mekanisme pengambilan baharu bagi pekerja Bangladesh ke negara ini bulan depan selepas kerajaan Malaysia menggantung sistem penggajian pekerja dari negara Asia Selatan itu tahun lepas susulan dakwaan terdapat unsur-unsur rasuah dan kelemahan.

Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmad berkata Dhaka dan Putrajaya kini berusaha menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Saya telah bertemu dengan pihak Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia. Sistem ini akan berjalan lancar apabila tiba masanya.

“Sistem lama tidak berjaya; jadi bagi sistem baharu, kami mahu semua pihak terlibat dan berusaha menjayakannya. Saya rasa pada Ogos, mungkin ada beberapa penyelesaian,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dan Bernama News Channel (BNC) ketika ditemui di persidangan dan pameran sehari ‘Showcase Bangladesh: Go Global’ di sini hari ini. 

Imran, yang berada di Kuala Lumpur kerana lawatan kerja selama tiga hari, turut memberi jaminan bahawa mekanisme baharu itu serta proses pengambilan pekerja Bangladesh untuk digajikan di Malaysia akan menjadi lebih telus.

Beliau berkata ini termasuk pemilihan tenaga kerja dan kemahiran yang tepat untuk industri berkaitan selain mengekalkan kemampuan kos pengambilan, sambil menambah bahawa kerajaan Bangladesh kini memantau proses itu bagi memastikan ia tidak melanggar mana-mana undang-undang.

“Kerajaan kami tidak akan membenarkan kos migrasi meningkat. Ini juga adalah antara perkara utama mengapa kerajaan (Malaysia) ketika ini menghentikan sistem (sebelum ini) kerana kosnya telah melampaui jangkauan,” katanya. 

Pada September tahun lepas, Putrajaya menggantung Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) bagi pekerja Bangladesh, yang hanya membenarkan proses pengambilan dijalankan oleh 10 agensi terpilih yang diluluskan kerajaan sebelumnya.

Sistem sebelum ini menyaksikan pekerja Bangladesh perlu membayar sehingga RM20,000 sebagai yuran pemprosesan setiap orang kepada ejen bagi memudahkan kelulusan permit kerja dan urusan lain di Malaysia. 

Imran menganggarkan bahawa kira-kira 400,000 pekerja Bangladesh kini bekerja secara sah di Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Karnival Amal Merdeka Kuala Pilah 2019 pada 23-25 Ogos

 
     

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel