Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Influenza di Johor terkawal


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini mengesahkan kes influenza di negeri ini masih terkawal dan tiada kejadian melampaui biasa dilaporkan.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din berkata insiden wabak influenza melibatkan sembilan pemain skuad Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak serius dan kesemua telah menerima rawatan pesakit luar dan kini dalam keadaan stabil.

"Kami ingin mengesahkan kejadian kluster influenza kalangan pemain JDT, yang sembilan kes influenza dilaporkan mulai 2 Julai 2019. 

"Lapan daripada kes tersebut disahkan menghidap influenza B manakala seorang lagi disahkan menghidap influenza A dan mereka telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru dan kini dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian kluster berkenaan selari dengan peningkatan kes influenza yang dijangka berlaku di musim hujan dan penularan berlaku kerana hubungan rapat sesama pemain. 

Dr Shaharom berkata berikutan itu tindakan awal telah diambil bagi mencegah penularan seterusnya iaitu seperti disinfeksi pusat latihan pemain bola sepak di Padang Seri Gelam dan pembersihan dari semasa ke semasa perlu dijalankan sebagai langkah pencegahan dan kawalan.

"Selain itu, pemberian suntikan prophylaxis - Influenza PFS vaccine kepada 31 orang termasuk pemain dan jurulatih turut dilakukan selain promosi kesihatan tatacara kebersihan diri yang betul dan penggunaan pencuci tangan beralkohol kepada kontak pesakit iaitu pencuci tangan beralkohol itu dibekalkan di bilik rawatan pemain," kata beliau.

Dr Shaharom berkata influenza adalah penyakit yang disebabkan oleh virus yang berjangkit melalui sistem pernafasan dengan gejala utama seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit kepala, sakit otot dan kelesuan yang gejala dan tanda-tanda jangkitan adalah berbeza mengikut kategori umur mereka yang dijangkiti. 

Tambahnya, wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk seperti pneumonia kepada kumpulan risiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes.

"Sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan salur pernafasan, JKNJ ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitiser, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat,” kata beliau. 

"Selain itu, mereka juga perlu menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin dan tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah selain mengelakkan berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain,” kata beliau.

-- BERNAMA  


 

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel