Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

11 premis makanan di Seremban diarah tutup - Exco


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





SEREMBAN, 11 Julai (Bernama) -- Sebanyak 11 premis makanan di daerah ini diarah tutup selama 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) kerana didapati  melakukan pelbagai kesalahan, termasuk beroperasi dalam keadaan kotor.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata premis-premis berkenaan diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 antaranya kerana tahap kebersihan yang rendah serta pelanggaran aspek kritikal.

‘’Sebanyak 48 premis makanan telah diperiksa hari ini dan 11 premis diarah tutup. Antara kesalahan dikenal pasti adalah pemilik premis gagal memastikan premisnya dalam keadaan sempurna, tidak mengikuti latihan pengendali makanan, gagal mendapatkan suntikan pengendali makanan, tidak memakai apron, tidak mengekalkan premis makanan bersih dan gagal memastikan penyimpanan makanan dengan sempurna.

“Dalam operasi itu juga, 90 notis yang boleh dikompaun di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM30,050,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Premis Makanan Bersih di sini, hari ini.

Katanya, operasi itu yang dijalankan di daerah Seremban turut melibatkan sembilan pasukan iaitu tiga pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban dan satu pasukan dari setiap PKD di seluruh negeri ini.

"Operasi ini tertumpu kepada premis makanan yang mempunyai aduan daripada orang ramai serta premis sekitarnya yang telah dijalankan pemantauan oleh pihak kesihatan yang tahap kebersihannya kurang memuaskan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga Jun tahun ini, sebanyak 4,474 premis makanan di negeri ini diperiksa dengan 46 premis atau 1.03 peratus daripadanya diperintahkan ditutup.

“Sementara 1,022 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 yang boleh dikompaun dikeluarkan kepada pemilik dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan keseluruhannya berjumlah RM290,100,” katanya.

Bagi tahun lepas, Veerapan berkata 6,662 premis makanan diperiksa dengan 109 premis atau 1.64 peratus daripadanya diperintahkan tutup, manakala 1,178 notis yang boleh dikompaun dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan kompaun berjumlah RM220,200.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel