Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Projek PSR: Kerajaan P. Pinang akan teruskan perbincangan dengan nelayan


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





GEORGE TOWN, 11 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap bersedia untuk berbincang dengan para nelayan yang mendakwa mereka akan terjejas dengan pelaksanaan projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) yang dibangunkan oleh kerajaan negeri.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata biarpun terdapat sekumpulan nelayan yang telah menyuarakan bantahan terhadap projek berkenaan dalam satu demonstrasi di bangunan Parlimen pagi tadi, kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk berunding dengan para nelayan.

"Saya yakin pihak nelayan yang terjejas akan memahami hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek tersebut berdasarkan pertemuan yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri dengan mereka pada Mei lalu," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas bantahan oleh sekumpulan nelayan di Parlimen, hari ini.

Dalam bantahan yang dihadiri kira-kira 200 nelayan dari Pulau Pinang dan Perak itu, mereka memohon agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempertimbangkan semula cadangan projek PSR itu kerana ia tidak mendatangkan faedah.

Selain itu, golongan nelayan itu turut mengemukakan memorandum yang mempunyai tiga tuntutan iaitu mewujudkan Majlis Perancangan Fizikal Negara untuk membatalkan projek PSR, mengenakan moratorium aktiviti perlombongan pasir laut di luar pantai Perak dan melakukan kajian komprehensif oleh pakar bebas dan perancang profesional bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Chow sebelum ini berkata Kerajaan Negeri akan meneliti syarat-syarat ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum mengadakan pertemuan dengan para nelayan yang terjejas bagi membincangkan isu pampasan.

Beliau berkata pertemuan yang telah dirancang itu merupakan salah satu syarat yang ditetapkan untuk kelulusan EIA projek berkenaan.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berkata kerajaan akan melakukan kajian terhadap dakwaan beberapa pihak mengenai projek PSR yang dikhuatiri akan memberi kesan kepada kehidupan nelayan dan alam sekitar.

Menurutnya, tindakan sewajarnya akan diambil, jika terdapat bukti berhubung dakwaan itu.

Kerajaan Negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina tiga pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut.

Projek PSR dicadangkan bertujuan mewujudkan bank tanah untuk membiayai projek PTMP Pulau Pinang. Difahamkan jangka masa projek tebus guna adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 dan 50 tahun.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel