ErObvYVZTjg Agong, Raja Permaisuri berkenan sambut hari jadi PM, isteri di Istana Negara
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Agong, Raja Permaisuri berkenan sambut hari jadi PM, isteri di Istana Negara


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini menerima kejutan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang berkenan menganjurkan sambutan hari jadi “impromptu” (mengejut) buat mereka di Istana Negara di sini.

Detik-detik istimewa itu berlangsung selepas penyampaian Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (D.K.M) kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada istiadat yang sama, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N).

Istiadat persembahan darjah kebesaran kepada Seri Paduka berdua disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili kerajaan.

Dr Mahathir kelihatan benar-benar terkejut apabila kek khas bersama pulut kuning dibawa masuk ke dalam bilik untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke-94 yang tarikhnya jatuh semalam. Dr Siti Hasmah pula akan menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-93, esok.

Seri Paduka berdua berkenan berangkat menyertai majlis itu sebaik para hadirin menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ kepada Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pada acara memotong kek.

Kek berbentuk piano berwarna hitam dan putih itu dihiasi dengan bunga-bungaan, sebuah biola mini, sekeping nota muzik dan buku-buku -- mungkin untuk menggambarkan kegemaran Dr Mahathir membaca dan kecintaan Dr Siti Hasmah kepada muzik.

Perdana Menteri dan isteri yang telah mendirikan rumah tangga sejak 63 tahun lepas, kemudian saling menyuapkan potongan kek dan saat-saat bahagia itu turut berkenan disaksikan oleh Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong.

Yang turut hadir untuk menyaksikan kedua-dua istiadat ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Menteri Besar Pahang Menteri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.    

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha promosi produk tempatan melalui e-dagang langkah tepat - Saifuddin

 
     

Pesakit kanser tahap empat tangguh rawatan akibat kekangan kewangan

 
     

Sukarelawan sepenuh masa APM bakal terima perlindungan Perkeso

 
     

Aduan kebersihan tandas KLIA berkurang 80 peratus

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel