Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Suntikan perancang keluarga Orang Asli sebagai langkah keselamatan


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





SUNGKAI, 11 Julai (Bernama) -- Suntikan di bawah program perancang keluarga yang dikenakan terhadap wanita Orang Asli di negara ini bertujuan untuk melindungi mereka daripada kehamilan yang membahayakan kesihatan dan nyawa.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif di bawah kementeriannya itu dilakukan atas rasa tanggungjawab bagi mencegah wanita-wanita yang berhadapan masalah seperti anemia dan kekurangan darah merah daripada hamil.

“Ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga yang penting demi menyelamatkan mereka dan kehamilan. Sekiranya kiraan darah kurang daripada 11, kita akan merujuknya kepada ubat-ubatan kerana ia tidak selamat untuk mereka hamil,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita tempatan yang mendakwa suntikan itu memberi kesan teruk kepada wanita Orang Asli pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Ikon Gigi Orang Asli (iGG-OA) Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sini hari ini.

Dzulkefly berkata program perancang keluarga itu hanya dilakukan selama dua tahun sebelum ia dihentikan bagi membolehkan kehamilan semula kepada wanita Orang Asli.

“Ia dilakukan untuk kepentingan keselamatan wanita itu sendiri kerana sangat penting untuk mengelak kehamilan dalam tempoh tertentu dan salah satu daripadanya dengan suntikan perancang keluarga untuk melindungi mereka daripada kehamilan yang tidak sesuai,” katanya.

Semalam, portal berita berkenaan melaporkan suntikan perancang keluarga yang diberikan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada wanita Orang Asli terutama yang baru berkahwin didakwa memberi kesan yang teruk.

Selasa lepas, Orang Asli daripada lima buah kampung di Gerik dan Sungai Petani dilaporkan hadir ke parlimen bagi menggesa kerajaan menerusi KKM supaya menghentikan tindakan memberi ubat perancang kepada masyarakat itu.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM menyerahkan siasatan berhubung penahanan lelaki yang menyamar dirinya sebagai doktor untuk melakukan gangguan seksual ke atas wanita melalui telefon di Klang kepada pihak polis.

Beliau berkata kementeriannya tidak menjalankan siasatan dalaman namun tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyamar sebagai doktor.

“Individu yang menyamar sebagai doktor palsu itu telah ditahan dan kita menyerahkan siasatan kepada pihak polis untuk menyiasat.

“Kita akan menanganinya dengan tegas dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang melakukan perkara ini tanpa amalan perubatan yang sebenar dan berdaftar kerana ia bukan sahaja satu kesalahan jenayah tetapi juga menjejaskan kesihatan dan keselamatan pesakit,” katanya.

Dr. Dzulkefly berkata perbuatan doktor palsu dan amalan perubatan palsu dikhuatiri memberi risiko kepada pesakit dan pihaknya memberi amaran supaya tidak melakukan perkara yang tidak beretika sedemikian.

Ditanya sama ada terdapat prosedur untuk doktor melakukan pemeriksaan perubatan melalui panggilan telefon, Dr. Dzulkefly berkata amalan dalam kalangan doktor yang berdaftar tidak wajar dibandingkan dengan perbuatan doktor palsu.

Beliau berkata pihaknya sedang menuju ke arah tele-perubatan dan kesihatan digital namun ia tidak boleh dibandingkan dengan perbuatan doktor palsu yang mana berbeza dengan amalan perubatan yang profesional.

Pada pukul 8.45 malam semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang menyamar sebagai doktor untuk melakukan gangguan seksual ke atas wanita melalui telefon di sebuah hotel di Klang, Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dilaporkan berkata sebanyak tiga laporan polis diterima pihaknya sepanjang Jun lepas mengenai kegiatan lelaki yang berasal dari Terengganu berkenaan dan siasatan lanjut mendapati, 21 laporan berkaitan kes itu turut dibuat oleh mangsa yang berlainan di seluruh negara.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel