Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Aset Kayamas bayar RM200,000 kepada Datuk Bandar KL untuk beli tanah - Saksi


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





KUALA LUMPUR, 11 Julai  (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd telah membuat bayaran RM200,000 kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai persetujuan menerima tawaran penjualan dua lot tanah di Bandar Tun Razak milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Korporat DBKL, Razailia Khalid ,43, berkata Aset Kayamas telah membuat bayaran berkenaan melalui  bank draf bernombor 004094 dari Hong Leong Islamic Bank bertarikh 5 Jun 2015.

"Saya merujuk kepada surat daripada Jabatan Perancangan Ekonomi & Penyelarasan (JPEPP) DBKL kepada Jabatan Kewangan DBKL bertajuk ‘Tawaran penjualan harta tak alih milik Datuk Bandar Kuala Lumpur di atas lot 53427 dan 53653 kepada Aset Kayamas’ pada 5 Jun 2015.

"Dokumen ini merupakan surat daripada pihak JPEPP kepada Jabatan Kewangan DBKL berkenaan dengan bayaran Wang Kesungguhan yang dibayar oleh pihak syarikat sebagai akuan setuju terima tawaran penjualan tanah di lot berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca penyataan saksinya pada hari keenam perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Saksi pendakwaan ke-15 itu yang bertanggungjawab menguruskan permohonan penjualan tanah berkenaan berkata surat itu merupakan surat arahan kepada Jabatan Kewangan untuk mengeluarkan resit asal pembayaran kepada JPEPP bagi urusan penyerahan kepada pihak Aset Kayamas.

"Saya mengesahkan bahawa saya telah menandatangani surat ini bagi pihak Pengarah JPEPP Bahagian Penswastaan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid.

Razailia turut mengesahkan beliau menyediakan surat daripada JPEPP kepada Aset Kayamas bertarikh 18 Ogos 2015 yang bertajuk: Per: Tawaran Penjualan Harta Tak Alih Milik Datuk Bandar Kuala Lumpur di atas Lot 53427 dan Lot 53653 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur - Tuntutan Bayaran 10 peratus daripada Harga Jualan - RM2,356,240.00.

"Saya mengesahkan saya yang menyediakan surat tersebut untuk ditandatangani oleh Pengarah JPEPP, Ab Salim Mansor," katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Selasa.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Karnival Amal Merdeka Kuala Pilah 2019 pada 23-25 Ogos

 
     

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel