Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka tetap had umur belia 15 hingga 30 tahun


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





MELAKA, 11 Julai (Bernama) -- Had umur golongan belia di negeri ini ditetapkan dalam lingkungan 15 hingga 30 tahun, kata Ketua Menterinya, Adly Zahari.

Beliau berkata, penetapan senada dengan Kerajaan Persekutuan itu bertujuan meremajakan institusi belia di negeri ini dan memberi peluang kepada belia untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

"Kita telah mendengar hujah berkenaan had umur belia ini di Dewan Rakyat dan tentang keperluan menurunkan hadnya daripada 40 tahun ke 30 tahun.

"Justeru, Melaka menerima pakai penetapan umur belia dalam lingkungan 15 hingga 30 tahun seperti yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana peruntukan program disalurkan KBS adalah berdasarkan kepada Dasar Persekutuan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Pada 3 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia dari 40 kepada 30 tahun.

RUU yang dibentangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu turut memperuntukkan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Mengulas lanjut, Adly berkata penetapan baharu had umur belia itu juga dilihat dapat mendewasakan golongan belia menerusi pembabitan mereka dalam pelbagai program dan aktiviti sekali gus melahirkan pelapis pemimpin muda yang berkaliber.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah akan mendahulukan peruntukan berjumlah RM10 juta di bawah belanjawan kewangan negeri bagi menaik taraf stesen pintu kawalan air baraj muara Sungai Melaka dalam usaha mengatasi bencana banjir akibat hujan lebat dan air pasang khususnya di kawasan bandar.

"Keperluan mendesak ini menyebabkan kita perlu mendahulukan peruntukan itu yang turut dimohon daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf pintu baraj terlibat dan kerja pembaikan mengambil masa kira-kira enam bulan dan dijangka siap sebelum akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri juga sedang mendapatkan pandanagan jururunding bagi mencari penyelesaian menyeluruh isu banjir di negeri ini termasuk kaedah alternatif mengalirkan lebihan air hujan ke kawasan empangan di negeri ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel