Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis tumpas geng samun, ragut warga emas


Tarikh kemaskini: 11/07/2019




GEORGE TOWN, 11 Julai (Bernama) -- Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan samun dan ragut yang menyasarkan wanita warga emas di negeri ini, Kedah dan Perak selepas menahan sepasang kekasih dan suami isteri di sini dan di Kedah semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah hari ini berkata penahanan mereka susulan polis melancarkan Op Rentap Sempadan bagi mengesan dan menangkap suspek-suspek terlibat selepas menerima laporan 34 kes samun dan ragut di negeri ini sejak Januari hingga Julai.

"Hasil risikan yang polis jalankan, kami mengesan dua motosikal di kawasan Pelabuhan Sweetenham,  Lebuh Pantai di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam sebelum menahan dua lelaki serta seorang wanita berumur 27 hingga 33 tahun," katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya ekoran tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Pokok Sena, Kedah dan menahan seorang lagi wanita berumur 29 tahun yang juga ahli geng berkenaan iaitu kekasih kepada seorang daripada lelaki yang ditahan sebelum itu.

Hasil maklumat yang diperoleh daripada individu-individu ini, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Seberang Jaya dan merampas pelbagai barangan kemas dipercayai hasil kegiatan jenayah kumpulan itu, selain sejumlah nombor pendaftaran palsu, dipercayai untuk dipasang pada motosikal-motosikal yang mereka gunakan untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka.

Zainol berkata sebanyak 10 bungkusan mengandungi bahan disyaki dadah syabu turut ditemui di rumah berkenaan dan beliau mendedahkan kedua-dua lelaki itu menggunakan motosikal yang dipasang nombor pendaftaran palsu untuk bergerak di kawasan kampung dan pedalaman untuk menjalankan kegiatan mereka.

Katanya suspek-suspek ini menyasarkan wanita warga emas yang tinggal berseorangan dan berjalan kaki bersendirian dengan berpura-pura bertanya alamat, sebelum bertindak menyamun barangan kemas atau wang milik mereka.

"Ada dalam kalangan mangsa yang cedera kerana ditolak serta dipukul dua lelaki berkenaan semasa kejadian itu kerana suspek mahu mengambil barangan kemas dan duit mereka," katanya, sambil menambah kedua-dua wanita yang ditahan itu pula berperanan menjual barangan kemas yang disamun di laman sosial pada harga murah. 

Beliau berkata keempat-empat individu ini dipercayai terlibat dalam kegiatan itu sejak tahun lepas hidup berpindah-randah bagi mengelakkan diri mereka dijejaki polis.

"Pasangan kekasih itu positif dadah dan kesemua mereka (empat orang) kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan," katanya.

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup tengah hari ini

 
     

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

 
     

Bayi berusia tiga bulan di Sabah dijangkiti virus polio

 
     

Tunai mandat diberi dengan hadir ke mesyuarat - Setiausaha Agung PKR

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel