Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tchetche tuntut rakan sepasukan teruskan rentak kemenangan


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





KUALA TERENGGANU, 11 Julai (Bernama) -- Penyerang Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche menuntut rakan sepasukan supaya meneruskan momentum kemenangan dalam aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam esok.

Pemain import dari Ivory Coast itu, berkata pemain TFC telah menampilkan prestasi terbaik pada tiga perlawanan terakhir liga sebelum ini, dengan menewaskan Kuala Lumpur (3-1) dan PKNS FC (2-1) dan bangkit daripada ketinggalan mengikat Kedah 2-2.

"Pada tiga perlawanan terakhir ini, kita seperti mendapat semangat baharu untuk berjuang sehingga ke minit-minit akhir bagi memburu gol.

"Jika semangat ini terus ada pada setiap pemain, tidak mustahil TFC mampu meraih kemenangan menentang Pahang di laman sendiri," katanya ditemui pada program penaja GLE Centre Entreprise, iaitu pengeluar kopi Super Jantan, bersama pemain TFC di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak. 

Pada majlis itu, Pengarah Urusan GLE Centre Entreprise, Mohd Zulkifli Harun yang menaja sebanyak RM100,000 kepada TFC musim ini, memberikan suntikan kata-kata semangat kepada pemain sebelum bertemu Pahang.

Selepas mengharungi 20 perlawanan dengan berbaki dua aksi liga, TFC menduduki tangga ketujuh setelah mengumpul 28 mata.

Dalam pada itu, Tchetche yang muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia musim 2018, berkata pemain TFC bertekad bermain bermati-matian dalam dua perlawanan terakhir liga bagi menempatkan mereka dalam kelompok empat terbaik dalam carta kedudukan pasukan musim ini.

"Kita sedar bakal berdepan dua pasukan gergasi Liga Malaysia, Pahang dan juara liga musim ini, Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan terakhir 19 Julai ini.

"Tetapi kita masih berpeluang melonjak ke kedudukan lebih baik memandangkan kutipan mata antara pasukan tempat ketiga hingga ketujuh tidak banyak beza, malah ada yang dibezakan dengan satu mata," katanya.

TFC dilihat masih berpeluang untuk mengintai empat teratas liga jika mampu menundukkan Pahang dan JDT pada dua perlawanan terakhir Liga Super itu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel