Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu lancar Kempen Selamatkan Laut Kita


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





KUALA TERENGGANU, 11 Julai (Bernama) -- Kempen Selamatkan Laut Kita yang dilancarkan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu hari ini mampu mencapai matlamatnya jika mendapat sokongan padu daripada semua 8,985 nelayan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim berkata dengan tema 'Jangang Tohok Sapoh Llaut' (Jangan Buang Sampah Di Laut), kempen itu menyasarkan kerjasama nelayan untuk membawa pulang sampah ke daratan bagi tujuan pelupusan.

"Berdasarkan rekod, 2,578 bot telah berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu pada tahun lepas. Jika sebuah bot ini membuang sampah seperti pembungkus makanan, botol plastik dan beg plastik dari bekal makanan di laut dengan anggaran satu kilogram, maka 2,578 kilogram sampah telah dibuang di laut setiap hari.

"Jika sampah ini tidak dibawa pulang ke daratan dan laut terus dijadikan tong sampah, maka dianggarkan nelayan negeri ini akan membuang sampah 940 metrik tan ke laut setiap tahun. Sebab itu, kita lancarkan kempen ini sebagai satu usaha menyelamatkan laut kita," katanya selepas merasmikan kempen itu dan penyerahan unjam kepada komuniti nelayan daerah Kuala Terengganu di Pulau Duyung di sini, hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali serta 50 nelayan dari Kuala Ibai dan Tok Jembal.

Dalam pada itu, beberapa nelayan yang ditemui Bernama turut menyambut baik pelancaran kempen itu kerana secara tidak langsung, ia akan meningkatkan populasi ikan di laut yang menjadi sumber rezeki untuk mereka.

Nelayan dari Kuala Ibai, Suhaizu Omar, 33, berkata beliau sendiri selalu mengalami masalah kerosakan enjin apabila bot fiber miliknya tersangkut dengan sampah seperti guni, tali pukat lama dan plastik yang bersaiz besar.

"Setiap kali menangkap ikan, saya memang bawa sampah balik ke darat sebab tak mahu mencemarkan laut, tambahan pula banyak pendedahan mengenai kematian penyu akibat termakan sampah.

"Saya berharap komuniti nelayan dapat menjayakan kempen ini kerana kita mahu laut Terengganu terus kaya dengan sumber marin untuk generasi akan datang," katanya. 

Bagi Fauzi Sulaiman, 47, beliau berasa sedih setiap kali terlihat sampah terapung di permukaan laut dan muara sungai kerana ia menunjukkan tahap pencemaran yang semakin teruk di negeri ini.

"Namun, saya yakin kempen ini akan menunjukkan hasil positif kerana tahap kesedaran nelayan juga akan bertambah seiring masa. Saya juga berharap kempen ini akan diperluaskan kepada orang ramai termasuk pelajar agar mereka menjaga kebersihan pantai dan nelayan pula menjaga kebersihan di laut," katanya. 

-- BERNAMA 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel