Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keperluan hakim di Mahkamah Syariah N. Sembilan begitu mendesak


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





SEREMBAN, 11 Julai (Bernama) -- Keperluan hakim di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan kini sangat mendesak bagi menyelesaikan banyak kes-kes tertunggak, memandangkan kini hanya terdapat dua orang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan tujuh orang Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) Abas Nordin berkata jumlah kes yang terlalu banyak itu mengakibatkan pihaknya gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

Beliau memberi contoh daripada 6,900 kes yang didaftarkan di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan tahun lepas, hanya 59 peratus sahaja yang dapat diselesaikan, berbanding KPI yang ditetapkan pada 80 peratus.

“Ini kerana kes terlalu banyak, sedangkan kita tidak mempunyai hakim yang mencukupi untuk mengendalikannya," katanya kepada pemberita selepas majlis Pentauliahan Peguam Syarie dan Panel Hakam Negeri Sembilan 2019 oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Datuk Mohamed Husein di sini, hari ini.

Katanya beliau difahamkan Hakim Mahkamah Sivil membicarakan lima kes sehari, berbanding Hakim Mahkamah Tinggi Syariah sebanyak 15 ke 20 kes sehari.

Mengulas lanjut, Abas berkata setakat 30 Jun lepas, bilangan kes yang didaftarkan di Mahkamah Syariah di Negeri Sembilan ialah lebih 4,000 kes dan pihaknya menjangka kes ini akan meningkat kepada lebih 8,000 sehingga hujung tahun ini.

Katanya daripada 4,000 kes yang didaftarkan setakat 30 Jun lepas itu, pihaknya dapat menyelesaikan sebanyak 55 peratus.

"Salah satu sebab kes tidak dapat diselesaikan ialah kerana terlalu banyak kes muncul, dan kita kekurangan hakim. Kita sudah memohon kepada pihak kerajaan untuk penambahan jawatan termasuk hakim. Kita pohon penambahan jawatan sejak tahun lepas lagi, namun masih belum ada pengisian.

"Oleh itu, saya mohon jasa baik pihak kerajaan untuk memahami keadaan kita di Mahkamah Syariah ini… kita memerlukan seorang lagi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan seorang lagi Hakim Mahkamah Rendah Syariah serta kakitangan sokongan," katanya dan menambah setakat ini JKSNS mempunyai lebih 80 orang pegawai yang bertugas di Mahkamah Syariah di seluruh negeri.

Majlis pentauliahan hari ini menyaksikan 58 orang Peguam Syarie dan 49 orang Panel Hakam menerima sijil pentauliahan dan watikah pelantikan masing-masing daripada Mohamed.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel