Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sekolah pertama di Pulau Pinang bakal pasang panel solar


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





BUKIT MERTAJAM, 11 Julai (Bernama) -- Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Beng Teik (Pusat) di sini bakal mencipta sejarah apabila menjadi sekolah pertama di negeri ini yang dilengkapi panel solar melalui perjanjian Pembekalan-Tenaga Boleh Diperbaharui antara sekolah itu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di sekolah berkenaan hari ini berkata kerajaan negeri amat mengalu-alukan kolaborasi antara pelbagai pihak untuk meningkatkan lagi inisiatif penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui.

“ SJKC Beng Teik (Pusat) merupakan sekolah pertama di negeri ini yang memasang solar sebagai sumber elektrik bagi kegunaan harian. Ia merupakan sekolah pertama yang menjalin kolaborasi dengan TNB bagi memasang panel solar untuk menjana tenaga boleh diperbaharui bagi kegunaan sekolah. 

"Saya percaya ini merupakan satu trend ke hadapan bagi menangani isu-isu tenaga perubahan iklim dan pembangunan mampan, maka segala inisiatif hijau perlu diketengahkan dan dimajukan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Chow berkata pihaknya menyambut baik usaha TNB dan turut merancang kemungkinan akan mengambil bahagian dalam pemasangan solar itu di bangunan-bangunan milik kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Peruncitan TNB Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata TNB memperuntukkan kos kira-kira RM400,000 hingga RM500,000 dengan kontrak selama 25 tahun dalam menjalin kerjasama dengan sekolah berkenaan.

"Ia sebenarnya akan memberi kesan yang positif dari sudut pengguna yang mana akan berlaku penjimatan berhubung dengan bagaimana elektrik boleh dijana, dapat membantu contohnya pihak industri dan sekolah mengurangkan bil elektrik dan membantu negara kita seperti mengurangkan karbon," katanya.

Dalam pada itu, Megat Jalaluddin berkata TNB melalui anak syarikatnya, GSPARX, turut membuka peluang kepada pengguna-pengguna domestik untuk memasang panel solar di kediaman milik mereka.

“Terdapat dua pakej kepada pengguna untuk membuat pilihan iaitu pilihan pertama ialah untuk beli panel solar dan kita bantu pasang manakala pakej kedua TNB akan mengeluarkan modal untuk membeli peralatan melibatkan solar dan kita akan bantu pasang di atas bumbung bangunan," katanya.

Beliau berkata dengan penggunaan panel solar, penjimatan elektrik dapat dikurangkan kepada 15 hingga 20 peratus.

 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel