Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peminjam PTPTN dalam senarai CCRIS tiada masalah mohon pinjaman beli rumah pertama


Tarikh kemaskini: 11/07/2019





MELAKA, 11 Julai (Bernama) -- Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenaraikan dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pinjaman bank bagi membeli rumah pertama.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata CCRIS adalah sistem pemakluman tentang pembayaran balik pinjaman dan bukannya untuk menyenaraihitamkan pemohon.

Beliau berkata sistem itu menjadi rujukan bank atau institusi kewangan untuk membuat penilaian terhadap permohonan yang dibuat oleh peminjam PTPTN yang disenaraikan dalam rekod CCRIS.

"Kita di pihak Bank Negara Malaysia (BNM) akan berbincang dengan PTPTN dan pihak berkaitan tentang perkara itu, cuma saya perlu tekankan CCRIS merupakan sistem yang mana pihak bank perlu melaporkan pinjaman tertunggak peminjam dan bukan satu mekanisme untuk menyenaraihitamkan mereka.

"Kalau ada sebarang pinjaman baharu yang perlu dibuat, ia adalah berdasarkan budi bicara bank itu sendiri sama ada mahu meluluskan permohonan pinjaman atau tidak," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Seminar dan Sesi Klinik Kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bahawa peminjam PTPTN yang disenarai hitam dalam rekod CCRIS akan dikecualikan daripada sekatan untuk pembelian rumah pertama.

Semalam media melaporkan Zuraidah berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan bulan lepas menerusi perbualan telefon dan keputusan itu dijangka diumumkan secara rasmi selepas pelancaran Skim Perumahan Belia pada pertengahan Oktober depan.

Dalam perkembangan lain, Adnan Zaylani berkata PKS yang melalui proses penstrukturan dan penjadualan semula bayaran pinjaman tidak akan disenarai sebagai akaun terjejas bagi memastikan mereka mendapat kemudahan kredit yang diperlukan.

"BNM sentiasa prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi PKS khususnya dalam persekitaran yang mencabar pada masa kini dan kita telah berbincang dengan Persatuan Bank Malaysia serta PKS dalam tempoh beberapa bulan lepas bagi memberikan fleksibiliti kepada PKS yang menghadapi masalah aliran tunai tidak terjejas," katanya.

Beliau berkata PKS adalah antara enjin pertumbuhan ekonomi utama negara, terdapat satu juta pertubuhan perniagaan menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 66 peratus guna tenaga. 

Katanya PKS juga merupakan pelanggan yang penting kepada institusi kewangan, merangkumi 87 peratus daripada jumlah akaun pembiayaan perniagaan. 

"Sepanjang tahun lepas, lebih 123,000 permohonan pembiayaan PKS telah diluluskan, dengan secara purata, tiga daripada empat permohonan pembiayaan diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM307 bilion," katanya.

Selain itu, beliau berkata pelbagai inisiatif pembiayaan disediakan BNM dan institusi kewangan bagi manfaat PKS di bawah Tabung BNM antaranya untuk semua sektor ekonomi, pertanian asas dan perusahaan mikro.

Katanya sehingga Januari tahun ini, sebanyak RM31.2 bilion pinjaman telah diluluskan di bawah tabung yang ditubuhkan pada 1980-an  melibatkan 80,000 PKS di seluruh negara.

"Peruntukan sebanyak RM3.3 bilion lagi masih tersedia di bawah tabung BNM, dan pembiayaan tanpa cagaran di bawah skim pembiayaan mikro juga antara segmen PKS yang layak memohon," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel