Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis Pahang tahan suspek utama kes penipuan umrah murah


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





KUANTAN, 10 Julai (Bernama) -- Polis Pahang hari ini, menahan dua wanita termasuk seorang yang disyaki perancang utama kes penipuan umrah di beberapa daerah negeri ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek masing-masing berusia 33 dan 22 tahun ditahan pada 7.20 petang di hadapan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pusat membeli belah di Shah Alam, Selangor. 

Katanya, suspek pertama yang mendakwa dirinya berstatus 'datuk' merupakan perancang utama kes manakala suspek kedua merupakan pembantu peribadinya dan pemilik akaun bank yang digunakan dalam penipuan itu. 

"Suspek dipercayai menawarkan pakej umrah bernilai RM2,200 seorang kerana mendakwa terdapat seorang penaja berpangkat 'datuk' akan menanggung bayaran selebihnya. 

"Mereka juga dipercayai individu yang menipu 19 peserta dari Temerloh melibatkan kerugian berjumlah RM41,800 sekitar November tahun lalu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

Mohd Wazir berkata sembilan mangsa dari Temerloh membuat laporan polis pada awal tahun lalu, kerana mendakwa suspek gagal memulangkan wang mereka selepas memaklumkan penerbangan terpaksa ditunda. 

Selain Temerloh, suspek juga disyaki aktif mencari mangsa di Jerantut, Bentong dan Cameron Highlands. 

Penahanan dua suspek itu adalah susulan daripada tangkapan ke atas dua wanita berusia 60 dan 50 tahun pada Sabtu lalu (6 Julai) yang dipercayai merupakan pemilik akaun yang digunakan untuk menerima deposit mangsa. 

Mohd Wazir berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

 
     

Sultan Ibrahim lancar buku Kembara Mahkota Johor 2001-2018

 
     

Tiada penangguhan, perbicaraan 1MDB Najib kekal 19 Ogos

 
     

Undi 18: SPR adakan sesi libat urus dengan pihak berkenaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel