Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Habuan rahsia menanti pemain Sabah selepas menjuarai Liga Premier


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





KOTA KINABALU, 10 Julai (Bernama) -- Habuan ‘rahsia’ bakal menanti pemain Sabah setelah berjaya menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi selepas mengesahkan kejuaraan Liga Premier musim ini apabila menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berkata, berita gembira itu bakal diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, semasa penyerahan trofi Liga Premier 2019 di Stadium Likas, Sabtu ini.

“Perkara ini (pemberian ganjaran kepada pemain) telah kami bincangkan dalam mesyuarat kabinet nnegeri hari ini. Namun kita serahkan kepada Ketua Menteri untuk mengumumkan ganjaran itu…saya percaya ada kejutan untuk semua pemain dan pihak pengurusan pasukan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pemain Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini  hari ini.

Semalam, Sabah mengesahkan kejuaraan Liga Premier musim ini selepas menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam dan kemenangan itu menyaksikan Sabah mengumpul 40 mata selepas 18 perlawanan, tujuh mata mengatasi Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di kedudukan kedua.

Skuad kendalian Jelius Ating yang sudah mengesahkan tempat ke Liga Super pada Jumaat lalu itu dinobatkan juara susulan JDT II yang berbaki satu perlawanan lagi sudah tidak mampu untuk mengejar kelebihan perbezaan tujuh mata yang dimiliki Sabah.

Sementara itu, Peter meminta semua penyokong Sabah datang untuk menonton perlawanan Sabah menentang Kelantan Sabtu ini, sekali gus melihat penyerahan trofi Liga Premier 2019 kepada pasukan Sabah.

“Saya harap ramai orang akan hadir pada Sabtu ini kerana kejuaraan Sabah pada tahun ini sudah lama dinantikan kerana kali terakhir Sabah mengangkat trofi berkenaan pada 23 tahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel