Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bot nelayan Vietnam ditahan dalam perairan negara


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





KUANTAN, 10 Julai (Bernama) -- Sebuah bot nelayan dari Vietnam ditahan kerana disyaki menceroboh dan menangkap ikan dalam perairan negara kira-kira 57 batu nautika utara dari Pulau Tioman, Rompin dekat sini, hari ini. 

Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang (Operasi) Kapten Maritim V. Pannir Selvan berkata bot itu ditahan pada 7 pagi oleh aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  KD Ganyang yang menjalani latihan eksesais di perairan Pahang. 

"Pihak TLDM mendakwa terdapat dua bot nelayan asing di kawasan itu, namun sebuah daripadanya dapat melarikan diri. Bot yang ditahan juga didapati menggunakan nombor pendaftaran tempatan PAF 4642 dipercayai untuk mengelirukan agensi penguat kuasa. 

"Pemeriksaan di kapal itu mendapati terdapat hasil laut dianggarkan hampir 100 kilogram yang dipercayai ditangkap dalam perairan negara untuk dijual di negara asing pada harga yang tinggi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

Pannir Selvan berkata nilai rampasan termasuk bot dianggarkan hampir RM1 juta. 

Katanya, APMM juga menahan lapan nelayan disyaki warga Vietnam termasuk seorang tekong berusia 18 hingga 50 tahun, yang semuanya didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. 

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan. 

"Jika sabit kesalahan, tekong itu boleh didenda sehingga RM1 juta seorang dan penjara maksimum tiga tahun manakala awak-awak boleh didenda sehingga RM100,000 seorang dengan penjara maksimum dua tahun," katanya. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel