Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelaksanaan efektif pastikan DNA Bola Sepak Malaysia berjaya - B.Sathianathan


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Mekanisme pelaksanaan lebih bersistematik seiring pemantauan rapi adalah perkara yang perlu ditekankan dalam DNA Bola Sepak Malaysia, kata Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B.Sathianathan.

Jurulatih berusia 61 tahun itu mengakui usaha mewujudkan DNA sebagai panduan memahami corak mengikut acuan bola sepak negara adalah langkah yang tepat.

Namun, kebimbangan Sathianathan lebih terarah kepada kepincangan sistem sedia ada yang berpotensi mempengaruhi minat pemain remaja untuk terus bermain dan berusaha mencapai kejayaan.

“Ada DNA atau tiada DNA, kalau jumlah pemain remaja di peringkat akar umbi itu kurang, ditambah pula kekurangan perlawanan kompetitif dan tanpa waktu latihan yang mencukupi, macam mana DNA sekali pun ia tidak akan berhasil.

“Usaha mewujudkan DNA itu bagus tetapi apa yang penting adalah bukan hanya di atas buku sahaja, pelaksanaan yang merangkumi segenap aspek melibatkan komponen-komponen utama adalah mustahak untuk pembangunan setiap pemain muda,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, buat julung kalinya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia yang juga dipanggil ‘Cara Malaysia’.

Ia bertujuan memanifestasikan falsafah bola sepak negara yang merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat umur dengan menekankan formasi 4-3-3 sebagai asas permainan.

Mengulas lanjut, Sathinathan mengambil contoh negara Jerman dan Jepun yang lebih memberi penekanan dan memandang serius terhadap proses pelaksanaan berbanding elemen lain.

“Di Jerman dan Jepun mereka ada DNA tersendiri juga tetapi apa yang lebih penting di sana adalah wujudnya satu sistem di mana pemain yang ingin bermain bola dapat segala kemudahan diperlukan. Sudah tentu bila semuanya lengkap, ia akan menyemarakkan lagi semangat pemain,” katanya yang juga merupakan ketua jurulatih Selangor.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel