Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Program patriotisme pelajar digiatkan untuk hadapi cabaran teknologi digital


Tarikh kemaskini: 10/07/2019




GEORGE TOWN, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Penerangan Malaysia akan menggiatkan lagi usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sekolah ekoran perkembangan teknologi digital yang turut membawa maklumat negatif dan tidak sahih.

Pengarah Penerangan Pulau Pinang, Naim Fahmi Ahmad Tajuddin hari ini berkata usaha untuk melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik, bersatu padu dan harmoni ini dilihat semakin penting ekoran penularan maklumat tidak sahih dan boleh menimbulkan perpecahan menggunakan teknologi itu.

"Era digital kini mempunyai kelebihan yang tersendiri dalam memudahkan komunikasi dan penyampaian maklumat namun ianya telah disalah guna oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu kita terapkan program-program yang boleh memupuk mereka menjadi rakyat dan pengguna medan komunikasi yang baik.

“Mereka (pelajar) tidak sepatutnya (didedahkan) dengan ekstremisme, berita palsu, dan cerita-cerita putar belit. Kita semua perlu hormat-menghormati, perlu ada integriti dalam penyampaian maklumat," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih Rakan Strategik di Straits Quay di sini.

Untuk mencapai matlamat tersebut, beliau berkata Jabatan Penerangan aktif menyalurkan maklumat dan mengadakan aktiviti melalui Kelab Malaysiaku yang ditubuhkan pada 31 Mei 2018 dan merupakan sebuah kelab ko-kurikulum yang ditubuhkan di sekolah-sekolah menengah seluruh negara.

Naim berkata rakyat Malaysia perlu memiliki sifat bertanggungajawab untuk menyebarkan berita yang sahih sahaja.

“Tiada alasan untuk rakyat mempercayai dan menyebarkan berita yang tidak benar kerana pihak kerajaan telah menyediakan laman sesawang sebenarnya.my sebagai platform semakan kesahihan berita,” katanya.

Terdahulu, Naim merasmikan program Jalinan Kasih Rakan Strategik yang meraikan lebih 50 orang pesara yang pernah berkhidmat di Jabatan Penerangan Pulau Pinang. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Tetap adakan upacara pengebumian untuk kedua ibu bapa - Anak

 
     

Jerebu boleh sebabkan radang mata, lelah

 
     

MESTECC beri fokus pembakaran terbuka atasi jerebu

 
     

PTPTN Kelantan catat kutipan deposit SSPN RM165 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel