Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPJ tunggu laporan Puspakom berhubung insiden murid jatuh bas


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





ALOR SETAR, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menunggu laporan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebelum mengambil sebarang tindakan berhubung insiden murid maut terjatuh daripada bas, Khamis lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak JPJ mendapati cukai jalan bas tersebut masih sah.

"JPJ hanya akan mengeluarkan cukai jalan kepada bas sekiranya Puspakom telah memberi kelulusan dan cukai itu tidak akan dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya. Kita telah minta laporan mengenai kondisi bas berkenaan dari Puspakom dan hanya tunggu mereka serahkan sahaja.

"Buat masa ini, JPJ tidak boleh memberi sebarang komen mengenai insiden itu kerana ia masih di bawah siasatan polis dan sebarang bentuk tindakan daripada pihak JPJ akan melihat kepada siasatan yang diperoleh daripada Puspakom," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Khamis lalu, seorang murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang di Kelantan dilaporkan meninggal dunia serta-merta selepas terjerlus jatuh dari lantai tangga bas yang dinaikinya di Kampung Kandis, Pasir Puteh.

Ketika kejadian, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, dipercayai berdiri bersama-sama rakannya yang lain berhampiran tangga di bahagian depan bas ketika dalam perjalanan menghadiri bengkel Bahasa Inggeris di Bukit Keluang, Terengganu.

Terdahulu, Shaharuddin yang menghadiri majlis Pelancaran Siri KET dan Keputusan Siri VDP di Pejabat JPJ di sini berkata JPJ akan meluaskan penggunaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) di Kedah bermula 12 tengah malam ini bagi pembidaan nombor pendaftaran siri KET. 

"Kedah menjadi negeri pertama menggunakan sistem ini selepas Putrajaya dan Kuala Lumpur dan ia akan diteruskan ke Pulau Pinang, Sabah dan Johor dan negeri-negeri lain secara berperingkat sehingga tahun depan.

"Sistem yang diguna pakai ini lebih telus dan tidak melibatkan integriti serta manipulasi manusia, ia akan memudahkan pembida atau pengguna untuk melihat keputusan terutamanya berkaitan tempoh kelulusan tempahan yang hanya mengambil masa lima hari berbanding dua minggu kaedah manual sebelum ini," katanya.

Beliau berkata bagi siri nombor pendaftaran KET pihaknya menyasarkan pendapatan antara RM800 hingga RM1 juta berdasarkan purata bagi nombor pendaftaran KEN hingga KES sebelum ini di mana kategori nombor bernilai utama, harga minimum untuk bidaan adalah RM20,000; nombor menarik (RM3,000); nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300).

"Sementara itu, bagi siri nombor pendaftaran VDP untuk Kuala Lumpur, kutipan yang diperoleh  berjumlah RM1.14 juta dengan bidaan tertinggi adalah VDP 1 berharga RM120,000," katanya.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel