Terengganu sasar 6.5 juta pelancong pada 2025 - Exco negeri
Tarikh kemaskini: 10/07/2019
KUALA TERENGGANU, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Terengganu menyasarkan kedatangan 6.5 juta pelancong dengan unjuran pendapatan RM6 bilion menjelang 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata bagi memastikan hasrat itu tercapai, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah menyiapkan Pelan Strategik Pelancongan Terengganu 2019-2023.
"Kerajaan negeri akan terus memperhebat promosi dan acara menarik, kreatif serta unik untuk memanfaatkan sepenuhnya kewujudan produk pelancongan di negeri ini agar matlamat itu tercapai sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat Terengganu," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat bersama sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelancongan di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Katanya kerajaan negeri yakin sasaran kedatangan lima juta pelancong boleh dicapai sebelum akhir tahun ini dengan peningkatan segmen pelancong tempatan melalui penganjuran acara berskala besar seperti Festival Kenyir di Tasik Kenyir, Karnival Pantai Terengganu di Batu Buruk dan Pekan Budaya di beberapa daerah pada bulan Julai dan September nanti.
Terengganu mencatat kedatangan 4.79 juta pelancong pada 2018.
-- BERNAMA
|