Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis P.Pinang tumpaskan sindiket pemerdagangan manusia


Tarikh kemaskini: 10/07/2019




GEORGE TOWN, 10 Julai (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menumpaskan rangkaian sindiket pemerdagangan manusia melibatkan etnik Rohingya selepas menahan lima individu warga Myanmar dalam operasi khas pada pertengahan Jun lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk T. Narenasagaran berkata kesemua mereka yang berumur antara 30 dan 50 tahun, termasuk sepasang suami isteri, itu ditahan di tiga lokasi berasingan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dekat sini pada 14 Jun lepas hasil risikan dan intipan polis selama lebih dua minggu.

"Siasatan awal polis mendapati tiga  lelaki yang ditahan itu merupakan ejen penyeludupan dan ejen pemalsuan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala dua orang lagi merupakan mangsa pemerdagangan, iaitu pasangan suami isteri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya tiga lelaki itu berperanan menguruskan penyeludupan masuk warga Myanmar yang terdiri daripada etnik Rohingya ke Pulau Pinang sebelum mencarikan majikan kepada mangsa dengan mengenakan sejumlah bayaran.

Beliau berkata hasil tangkapan turut mendedahkan sindiket itu juga menjalankan kegiatan pemalsuan kad UNHCR dalam kalangan komuniti Rohingya.

Narenasagaran berkata tiga ejen itu ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 (Sosma) manakala dua mangsa yang terlibat disiasat menurut Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa orang lagi anggota sindiket itu yang kini sedang giat dijejaki,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, Polis Pulau Pinang akan mempertingkatkan lagi usaha mengesan sindiket rangkaian pemerdagangan manusia di negeri ini bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibanteras.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     

Semakan keputusan kemasukan MRSM tingkatan satu bermula hari ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel