Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kereta, motosikal bertembung: Pasangan suami isteri maut, pemandu parah


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





Oleh Adnan Mohamad

PASIR MAS, 10 Julai (Bernama) -- Pasangan suami isteri muda maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta Myvi berdekatan Lebuh Raya Rantau Panjang- Pasir Mas dekat Lubok Jong di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Supt Abdullah Mohammad Piah berkata, pasangan itu, Nur Syafiqah Jaafar, 22, dan suaminya Mohd Ikraam Ab Azit, 22, yang juga pembonceng dan penunggang motosikal, terbunuh di tempat kejadian manakala pemandu Myvi, Nor Azlan Nasir, 27, cedera parah setelah keretanya terbalik dalam kemalangan pukul 6.30 pagi itu.

Difahamkan, Nur Syafiqah sedang mengandung lima bulan dan anak dalam kandungannya turut meninggal dunia.

Mayat mangsa-mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk proses bedah siasat.

Abdullah berkata, ketika kejadian pasangan itu yang dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Rantau Panjang bertembung dengann Perodua MyVi dipandu Nor Azlan dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Nur Azlan cuba memotong kenderaan lain  tetapi gagal dan bertembung dengan motosikal Yamaha LC yang ditunggang Mohd Ikraam.

“Akibat pertembungan kuat itu, Nur Syafiqah tercampak sejauh tujuh meter dan janin yang dikandungnya terkeluar,” katanya ketika ditemui di Bahagian Forensik HPM di sini, hari ini.

Abdullah berkata, Mohd Ikraam berasal dari Kampung Berangan, Tumpat manakala isterinya Nur Syafiqah dari Ayer Lanas, Jeli.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, bapa Nur Syafiqah, Jaafar Ibrahim, 63, ketika ditemui berkata, Allahyarham adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik.

Katanya Allahyarham Nur Syafiqah adalah pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Kota Bharu.

"Saya mendapat tahu Allahyarham dan suaminya terbunuh setelah didatangi polis kira-kira jam 8 pagi tadi. Lebih menyedihkan saya kehilangan bukan seorang anak, tetapi juga cucu yang sedang dikandung Nur Syafiqah,” katanya sambil menambah tidak tahu anaknya sudah mengandung lima bulan.

"Kali terakhir berjumpa Allahyarham adalah ketika majlis kahwin abangnya baru-baru ini dan dia tidak menunjukkan apa-apa yang pelik," katanya yang akan mengebumikan anaknya itu di Ayer Lanas, Jeli selepas proses bedah siasat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel