Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Banjir: Penduduk tidak terfikir untuk berpindah


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





MELAKA, 10 Julai (Bernama) -- Lebih 30 tahun tinggal di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, seorang pesara tidak pernah terfikir untuk berpindah rumah ke lokasi lain biarpun sering kali terpaksa menghadapi bencana banjir.

Abdul Rahim Halus, 58, berkata rumahnya akan dinaiki air sekiranya hujan lebat bagi tempoh lama namun beliau dan lima ahli keluarga lain lebih selesa tinggal di rumah kerana seronok dengan suasana kawasan kampung itu.

"Hampir setiap tahun pasti akan berlaku banjir di sini, kami tidak mampu berbuat apa selain reda dengan musibah ini dan berharap pihak wajib dapat mengambil langkah sewajarnya menangani masalah ini.

"Rumah saya ditengelami air separas tiga kaki tetapi sehari kemudian telah surut, pernah juga banjir teruk beberapa tahun lepas apabila rumah kami dinaiki air paras dada," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama mendapat kebanyakan mangsa banjir telah mula pulang setelah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mencuci dan membersihkan rumah sejak semalam selepas air mulai surut di banyak kawasan di Durian Tunggal.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Zuraidi Mohammad, 38, berkata banyak perkakas dan peralatan elektriknya mengalami kerosakan selepas terendam dalam air selain dua motosikal miliknya tidak dapat digunakan lagi.

Katanya, banyak kerugian yang terpaksa ditanggungnya namun menganggap musibah itu sebagai ujian dan perkara lebih penting adalah keselamatan mereka sekeluarga.

"Selalunya apabila menyedari rumah mula dinaiki air, kami akan simpan barang-barang penting di tempat tinggi tapi ada juga yang tidak dapat diselamatkan," katanya.  

Norliza Mohd Isa, 36, pula menyifatkan banjir kali ini lebih buruk kerana banyak barang-barang di dalam rumah seperti kain baju, pinggan mangkuk dan sebagainya disaluti lumpur biarpun telah diletakkan di tempat tinggi.

"Mungkin sebulan pun belum tentu habis untuk kami bersihkan barang-barang, memang penat sebab setakat ini sudah dua kali berlaku banjir selepas beberapa bulan lepas," katanya.

Banjir kilat yang melanda negeri ini sejak tiga hari lepas hampir pulih hari ini apabila hanya dua PPS masih dibuka dengan jumlah mangsa 153 orang melibatkan 36 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel