Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Golden Fresh sasar tembusi lebih banyak pasaran luar negara


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BUTTERWORTH, 10 Julai (Bernama) -- Syarikat makanan laut sejuk beku berpangkalan di Pulau Pinang, Golden Fresh Sdn Bhd, sedang meneroka pasaran baharu yang berpotensi, khususnya negara Eropah Timur, Turki, Rusia dan Brazil.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Saw Lip Teik berkata pihaknya juga berada peringkat peluasan untuk memenuhi permintaan pasaran sedia ada terdiri daripada 26 negara termasuk Australia, Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, China dan beberapa negara Timur Tengah.

“Australia masih merupakan pasaran utama kami, diikuti United Kingdom dan Eropah, Malaysia dan Singapura,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini bersama pasukannya termasuk Pengarah Komersial Kumpulan Rosy Ng dan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Tang Cho Sun.

Produk Golden Fresh telah diperakui oleh pelbagai agensi domestik dan antarabangsa selain memperolehi sijil perakuan halal Malaysia di samping pensijilan daripada Majlis Pengawasan Akuakultur dan Majlis Pengawasan Marin bagi semua produknya.

Golden Fresh menawarkan lebih 300 produk termasuk filet ikan bersalut tepung ranggup, jejari ikan, ketulan sotong bergaram dan berlada serta udang tempura.

Pelanggan syarikat ini termasuk gedung perabot Sweden IKEA serta rangkaian pasar raya Aldi dan Carrefour.

“Kapasiti pengeluaran kami kira-kira 14,000 tan setahun dan kami merancang untuk meningkatkannya kepada kira-kira 17,000 tan bagi memenuhi pertumbuhan bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Berikutan kelembapan ekonomi global, Saw berkata, syarikat berkembang secara berhati-hati dalam pasaran sedia ada menerusi pengenalan barisan produk yang berbeza.

Golden Fresh, yang menjadi nadi jenama Pacific West dan Subi, telah meraih anugerah atas kreativiti produk, termasuk Anugerah Global Kecemerlangan Makanan Laut atas inovasi Udang Kuro pada 2017.

Syarikat itu juga pemenang di Ekspo Makanan Laut Global kali ke-27 dan Pemprosesan Makanan Laut Global edisi ke-21 di Brussels, Belgium, Mei lepas.

Golden Fresh, menerusi chef korporatnya, Garry Edson, telah menghasilkan Udang dalam Sos Kelapa Hor Mok Thai sekali gus mengatasi 37 finalis lain dari 12 negara untuk mendorong kumpulan syarikat itu menjulang Anugerah Global Kecemerlangan Makanan Laut bagi Kemudahan pada 2019 

Saw berkata, produk itu, yang termasuk udang dan sos dibungkus secara berasingan, boleh dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro selama empat minit, adalah amat asli dan kaya dengan rasa.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan produk makanan laut bernilai tambah selama bertahun-tahun.

“Kami berharap anugerah ini akan menggalakkan syarikat melangkah maju dan menghasilkan produk yang lebih inovatif dan berkualiti yang memenuhi permintaan pasaran semasa,” katanya.

Beliau menjelaskan produk yang memenangi anugerah itu boleh dimasak secara pantas -- hanya tiga hingga empat minit dalam ketuhar gelombang mikro -- dan dihidangkan bersama spageti, nasi dan mi.

Beliau berkata, kumpulan syarikat itu telah melalui perjalanan jauh untuk mencapai kejayaan yang ada pada masa ini, termasuk menjadi pembekal kepada acara sukan utama seperti Sukan Olimpik, kejohanan tenis Wimbledon dan Ragbi Piala Dunia.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel