Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Penyerang tambahan' bantu Tok Gajah lakar kemenangan


Tarikh kemaskini: 10/07/2019





KUANTAN, 10 Julai (Bernama) -- Kehadiran 'penyerang tambahan' daripada bahagian pertahanan yang berupaya mencetak gol membolehkan Pahang menang 3-2 ke atas PKNS FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Penolong Ketua Jurulatihnya Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi berkata sumbangan tiga gol daripada pemain pertahanan itu nyata melegakan skuad Tok Gajah yang ketandusan gol menerusi jentera serangan, walaupun bermain secara baik.

"Kita sejak awal lagi cuba mengatur serangan tetapi tidak berjaya menghasilkan gol dan strategi kita ialah melakukan pembetulan dalam aspek sepakan sudut supaya boleh boleh mencipta jaringan berhasil apabila pemain pertahanan menjaringkan gol.

"Perlawanan ini menyaksikan kita memiliki penyerang tambahan daripada posisi pertahanan dan saya yakin Pahang boleh berpesta gol pada perlawanan akan datang, apabila penyerang juga dapat melakukan jaringan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Pahang membuka jaringan gol menerusi pemain import Mark Herald Goulon pada minit ke-30, diikuti Muslim Ahmad (minit ke-42) sebelum Matthew Davies melengkapkan kemenangan pada minit ke-89. 

PKNS FC pula memperoleh gol menerusi pemain import dari Liberia Kpah Sherman (minit ke-60) dan Argentina Gabriel Guerra (minit ke-65). 

Ahmad Shahruddin berkata dengan kejayaan mengutip tiga mata penuh itu, Pahang masih berpeluang untuk menghuni tangga kedua Liga Super musim ini yang masih berbaki tiga perlawanan. 

Bagaimanapun, beliau mengakui Pahang berkemungkinan tidak dapat menurunkan tonggak utamanya, Dickson Nwakaeme dalam waktu terdekat, yang masih dibelenggu kecederaan. 

Sementara itu, pengendali PKNS FC Datuk K. Rajagobal berkata kelonggaran bahagian pertahanan Red Ants, yang bermula sejak babak pertama perlawanan, telah menghukum pasukannya dengan kekalahan tipis.

"Ini menyebabkan gawang PKNS FC dibolosi dua gol dengan cepat walaupun saya sudah beri arahan kepada pemain untuk memperketatkannya. Pemain bagaimanapun tidak berputus asa dan lebih agresif pada babak kedua sehingga memperoleh gol.

"Namun, kejadian PKNS FC menentang Kedah dan Terengganu sebelum ini berulang apabila gawang kita dibolosi pada minit-minit akhir perlawanan," katanya.

Susulan itu, Rajagobal berkata kelemahan ketara yang perlu diberi tumpuan oleh anak buahnya bagi melengkapkan jadual perlawanan Liga Super ialah meningkatkan fokus pada akhir waktu permainan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel