_6uHnQxIUM4 Terengganu cadang beli telur penyu belimbing dari luar negara
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu cadang beli telur penyu belimbing dari luar negara


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





DUNGUN, 9 Julai (Bernama) -- Jabatan Perikanan Negeri Terengganu hari ini bercadang membeli telur penyu belimbing dari luar negara untuk dieram dan dilepaskan ke perairan Terengganu bagi meningkatkan semula populasi penyu spesies berkenaan di negeri ini.

Pengarahnya, Zawawi Ali berkata bekalan telur penyu belimbing itu boleh diperoleh dari Papua New Guinea dan Indonesia.

"Bagaimanapun, cadangan itu akan diteliti dalam satu seminar khas yang akan mengumpulkan saintis dan pakar berkaitan penyu pada Oktober ini.

"Sekiranya mereka setuju dengan cadangan itu, kita akan meminta kerjasama Kerajaan Negeri untuk melaksanakannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pelepasan 1,684 anak penyu bersama komuniti di The Qamar Resort,  Paka, dekat sini.

Program pelepasan itu turut dihadiri kira-kira 3,000 penduduk sekitar Paka yang begitu teruja menyaksikan detik bersejarah itu.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata penyu mempunyai memori yang unik di mana ia akan mendarat untuk bertelur di lokasi yang sama semasa ia dilepaskan ke laut ketika kecil.

"Sebab itu, kita lihat cadangan membeli telur penyu dari luar negara untuk dieram dan dilepaskan ke perairan Terengganu adalah munasabah untuk dilaksanakan. Apa pun, ia bergantung kepada keputusan yang akan dimuktamadkan pada seminar itu nanti," katanya. 

Rekod Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menunjukkan pendaratan penyu belimbing ke Terengganu ialah pada 2017 setelah kali terakhir mendarat tujuh tahun sebelum itu (2010).

Terdapat tujuh spesies penyu di dunia dan empat daripada spesies itu mendarat di Terengganu, namun sejak kebelakangan ini hanya dua spesies sahaja yang kerap mendarat untuk bertelur iaitu penyu karah dan penyu agar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel