Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Banjir: rezeki buat kaki pancing


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





MELAKA, 9 Julai  (Bernama) -- Banjir di sekitar kawasan Durian Tunggal yang mulai surut hari ini menjadi lokasi tumpuan buat kaki pancing bagi meraih rezeki apabila ikan air tawar melimpah masuk ke parit  dari  Sungai Durian Tunggal.

Seorang warga emas, Tipah Jantan, 63, berkata antara spesies ikan yang boleh didapati di kawasan yang dinaiki air itu seperti ikan keli, lampan, haruan dan  puyu.

“Makcik datang sini naik basikal kira-kira dua kilometer dari rumah makcik kat Kampung Pulau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sedang memancing ikan di tepi parit berdekatan Sungai Durian Tunggal.

Tipah berkata biasanya  kaki pancing dan penduduk menghabiskan masa di sawah, paya dan kebun mangga yang terbiar dinaiki air di sekitar kawasan Belimbing Dalam untuk menangkap ikan.

"Jika musim banjir memang banyak ikan yang boleh dipancing tetapi bagi saya cukup selepas dapat sekilogram (ikan) saya akan pulang ke rumah.

"Memancing merupakan hobi masa lapang saya sejak berusia 12 tahun hingga kini, jika musim banjir keadaan akan jadi lebih meriah dengan orang ramai," katanya.

Tipah berkata kebanyakan hasil yang diperoleh dijual kepada pelanggan seperti  ikan puyu dengan harga RM20 sekilo bergantung kepada permintaan.

"Kebanyakan ikan yang diminta mereka (pelanggan) sebelum ini dijadikan hidangan kenduri iaitu seberat lima hingga enam kilogram," katanya.

Sementara itu, Jamal Abdul Nasir Isnin, 54, berkata kebiasaannya juga kaki pancing akan menunggu air surut kerana lebih banyak ikan yang boleh didapati mereka dan ada juga mereka yang mengambil peluang memasang jaring di kawasan rumah atau menjala ikan.

"Ikan haruan juga banyak didapati di sini, jika musim banjir sehari saya boleh dapat tujuh atau lapan ekor dan itu boleh dikatakan agak banyak bagi saya yang menjadikan memancing sebagai hobi untuk mencari pendapatan sampingan.

"Saya juga lebih suka mencari umpan sendiri seperti katak liar yang banyak boleh didapati di kawasan sawah, untuk harga ikan haruan sekilo saya akan jual RM15 kepada pelanggan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel