Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ancaman pencemaran udara di Bakar Arang tidak seburuk Pasir Gudang - Exco


Tarikh kemaskini: 09/07/2019




ALOR SETAR, 9 Julai (Bernama) -- Seorang exco kerajaan negeri Kedah berkata hari ini, walaupun terdapat pencemaran udara oleh kilang-kilang kitar semula yang beroperasi di kawasan Bakar Arang, Sungai Petani tetapi situasinya tidaklah sama dengan kejadian pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri Simon Ooi Tze Min berkata setakat ini kualiti udara di kawasan Bakar Arang masih baik dan terkawal.

“Kerajaan negeri sentiasa memandang serius isu ini. Kita telah mengarahkan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) untuk mengambil tindakan menjalankan operasi penutupan kilang dengan ‘sitaan pita kuning’ terhadap kilang-kilang yang beroperasi tanpa lesen.

“MPSPK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah menjalankan operasi bersepadu pada bulan Mei dan Jun lalu dengan mengadakan pemeriksaan secara berterusan bagi mengenal pasti sama ada kilang tersebut masih beroperasi atau tidak,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Katanya, selain itu MPSPK juga telah menutup dan menyita 15 kilang kitar semula sisa plastik yang diimport dari luar negara yang menjalankan operasi tanpa lesen. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan laporan sebuah akhbar pada Jumaat lepas, yang menyatakan bahawa Bakar Arang berisiko mengalami nasib sama seperti Pasir Gudang berikutan pencemaran udara yang didakwa menjejaskan kesihatan penduduk berpunca daripada operasi kilang kitar semula.

Ooi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Arang berkata, kerajaan negeri tidak akan sesekali mengeluarkan lesen kepada mana-mana pengusaha kilang yang menyalahgunakan operasi sekali gus beroperasi secara haram hingga menjejaskan kesihatan orang awam.

“Kita akan bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad selepas ini untuk memotong (bekalan) elektrik di kilang yang menyalahi undang-undang. Pemantauan secara berterusan akan dijalankan bagi memastikan masyarakat tidak bimbang,” katanya.

Dalam sidang media sama, Pengarah JAS negeri Tunku Khalkausar Tunku Fathahi berkata industri di Johor dan Kedah adalah berbeza dan kualiti udara di Kedah dari Januari 2018 sehingga Jun lepas tidak pernah mencatatkan bacaan tidak sihat.

“Bagi tahun ini, JAS telah mengeluarkan 463 surat arahan, 37 kompaun, 45 penahanan operasi kelengkapan, satu perintah larangan dan dua kertas siasatan dibuka terhadap kilang-kilang di negeri ini sebagai langkah penguatkuasaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Datuk Dr Ismail Salleh pula meminta masyarakat untuk tidak menimbulkan panik dengan mengaitkan semua penyakit dengan pencemaran udara tanpa mendapat pengesahan terlebih dahulu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel