Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JPNK tahan 27 lori bawa kayu getah tanpa kebenaran


Tarikh kemaskini: 09/07/2019




ALOR SETAR, 9 Julai (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan 27 lori yang membawa hasil hutan tanpa kebenaran melibatkan 115 tan kayu getah dianggar bernilai RM50,000 dalam operasi yang dijalankan di beberapa daerah di negeri ini bermula Ahad hingga semalam.

Pengarah JPNK Roslan Rani berkata kesemua lori tersebut membawa muatan itu tanpa pas pemindah untuk membawa keluar hasil hutan dan pemandu semua lori terbabit gagal mengemukakan pas tersebut semasa pemeriksaan dijalankan.

“Tujuan operasi ini dijalankan adalah bagi mengesan kesalahan lori atas transit terutamanya yang membawa hasil hutan, kilang-kilang kayu dan semakan kawasan hotspot kesalahan hutan.

“Operasi turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dan Polis Diraja Malaysia yang turut mengeluarkan beberapa saman atas kesalahan membawa muatan melebihi had dan beberapa kesalahan trafik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kesemua 27 lori serta muatan kayu getah disita untuk siasatan lanjut, manakala semua pemandu lori berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis.

Roslan berkata, siasatan awal mendapati kesemua kayu getah yang diangkut itu untuk dijual atau dibekalkan kepada sebuah kilang kayu di Pokok Sena.

“Permintaan yang tinggi terhadap industri perabot kayu getah menyebabkan individu dan syarikat terbabit sanggup melanggar undang-undang mengangkut kayu ini tanpa permit yang sah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 68(1) dan Seksyen 68(2) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel