Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MTNG beri tumpuan empat projek utama berkaitan pengurusan air Kelantan - Azmin


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





KOTA BHARU, 9 Julai (Bernama) -- Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan menerusi mesyuarat kali keduanya hari ini memberi tumpuan kepada empat isu utama membabitkan pengurusan sumber air seperti banjir dan keperluan air bersih di negeri itu.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata empat perkara yang telah diteliti itu ialah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), projek pembinaan Empangan Lebir, projek hidroelektrik di Nenggiri dan projek Skim Bekalan Air syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Merbau Condong, Machang.

"Kita telah meneliti empat kertas kerja penting itu bagi memastikan Kelantan terus dibangunkan secara mampan dan inklusif selaras dengan gagasan kemakmuran bersama yang diutarakan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) baru-baru ini yang menjadi dasar ekonomi negara. Kita tidak mahu mana-mana negeri atau wilayah tertinggal dalam arus pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan Kali Ke-2 di Bilik Gerakan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Bersama MTNg Datuk Ahmad Yakob.

Mohamed Azmin berkata bagi projek pembangunan PLSB fasa pertama amat penting bagi menangani masalah banjir di Kelantan yang bukan hanya berlaku pada musim Monsun Timur Laut tetapi juga bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Katanya setakat ini kemajuan projek yang bernilai RM458 juta itu telah mencecah 19 peratus iaitu siap lebih awal daripada yang dijadualkan.

Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada projek pembinaan Empangan Lebir di hulu Kelantan memandangkan ia menjadi keperluan utama rakyat dari segi sumber minuman, kegunaan domestik selain untuk menjana bekalan elektrik.

"Keutamaan akan diberikan kepada projek ini walaupun ia asalnya dimasukkan dalam RMK13 kerana ia satu keperluan yang mendesak bagi mengelakkan banjir yang menjejaskan ekonomi Kelantan. Saya akan memaklumkan cadangan kerajaan negeri ini untuk mempercepatkan projek tersebut menerusi RMK12," katanya.

Katanya keputusan itu juga dibuat dengan mengambil kira pandangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkaitan masalah penanaman padi di Kelantan yang sepenuhnya bergantung kepada bekalan air sungai pada musim banjir dan kemarau.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata pihaknya juga bersedia menimbangkan permohonan AKSB untuk menyiapkan projek skim bekalan air di Merbau Condong, Machang yang terpaksa dihentikan berikutan memerlukan kos tambahan sebanyak RM14.5 juta.

Dalam pada itu mengulas mengenai status terkini pelaksanaan projek strategik Kelantan yang diumumkan dalam mesyuarat pertama MTNg pada Mac lepas beliau berkata beberapa peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

"Sebagai contoh kerja perolehan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra akan dilakukan dalam suku tahun keempat tahun ini di mana proses tender akan dimulakan," katanya.

Sementara itu Mohamed Azmin berkata pelantikan Menteri Besar Kelantan sebagai pengerusi bersamanya dalam MTNg adalah sangat wajar bagi melancarkan usaha membangunkan negeri itu.

Katanya pelantikan itu akan memudahkan jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan Kelantan untuk saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah serta isu berkaitan projek pembangunan di negeri itu dengan lebih efisien dan berkesan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel