Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sepasang kekasih jadi anggota sindiket dadah ditahan


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





GEORGE TOWN, 9 Julai (Bernama) -- Polis menahan lapan individu termasuk sepasang kekasih yang juga anggota sindiket memproses dan mengedar dadah serta merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu bernilai RM126,000 dalam tiga serbuan sekitar Jelutong di sini pada Rabu dan Khamis lepas.

Ekoran penahanan mereka yang berusia antara 31 dan 77 tahun termasuk seorang wanita berumur 35 tahun itu, polis turut membongkar sebuah makmal proses dadah sindiket berkenaan di sebuah pangsapuri di Jelutong.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt V Saravanan hari ini berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan oleh pihaknya sejak dua minggu lepas, polis menjalankan serbuan bermula Rabu pukul 10 malam hingga 2.00 pagi Khamis sebelum menahan semua mereka.

"Dalam operasi pertama di sebuah rumah di Jelutong, polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga emas dan merampas heroin seberat kira-kira lapan kilogram (kg) dan 21 kg kafein," katanya pada sidang akhbar di sini.

Susulan penahanan dua lelaki itu, polis menyerbu sebuah kedai di kawasan sama pukul 12 tengah malam dan menahan lima lelaki serta merampas 70.8 g syabu dan 50 g heroin.

Saravanan berkata, polis kemudian menyerbu sebuah pangsapuri pada pukul 2.00 pagi Khamis dan menahan seorang wanita sebelum membongkar makmal proses dadah di rumah itu.

"Selain menahan wanita yang juga kekasih kepada seorang daripada lelaki ditahan itu, polis merampas pelbagai peralatan dan cecair untuk memproses dadah jenis heroin di pangsapuri berkenaan," katanya.

Susulan penahanan  mereka, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,571, sebentuk cincin emas, kereta jenis Nissan X-Trail dan Proton X70 serta motosikal skuter Honda PCX yang semuanya bernilai RM128,861.

"Lapan orang itu adalah anggota sindiket memproses serta mengedar dadah dan wanita serta tiga lelaki yang ditahan itu mempunyai kepakaran untuk memasak heroin. Mereka menyewa pangsapuri berkenaan tiga bulan lepas untuk dijadikan makmal proses bahan terlarang itu," katanya.

Beliau berkata, tujuh lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan semua mereka yang bekerja sendiri termasuk sebagai nelayan, tukang kayu dan penarik kereta itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel