Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tahu anak keluar isi minyak - Bapa


Tarikh kemaskini: 09/07/2019




TANAH MERAH, 9 Julai (Bernama) -- Bapa Allahyarham Abdul Rahman Abdullah, pelajar tingkatan empat yang maut dalam kemalangan motosikal di jalan Bukit Panau-Bukit Mas berdekatan Kampung Mentango malam tadi tahu anaknya keluar untuk mengisi minyak motosikal untuk ke sekolah pagi ini.

Afendi Kamariah, 54, berkata anak kelapan dari sembilan adik-beradik itu pergi ke stesen minyak berhampiran rumah untuk mengisi minyak.

"Dia (Allayarham) yang sedang belajar dalam tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pasir itu, tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum keluar rumah.

"Abdul Rahman anak yang baik dan mendengar kata orang tua, saya terkejut dan sedih Allahyarham meningggal dalam keadaan ini," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini,  hari ini. 

Abdul Rahman bersama dua lagi rakan Muhammad Danial Adam Che Hasim, 17, dan  Muhammad Nasrun Al Hakim  Norli 14, meninggal dunia di tempat kejadian setelah motosikal yang dinaiki bergesel sesama sendiri pada jam 10.10 malam.

Sementara itu Mohd Faizal Che Hashim, 31, abang kepada Allahyarham Muhammad Danial Adam, 17,  Pelajar SMU Ar Rahman, Paloh Che, berkata kejadian itu benar-benar mengejutkan keluarganya.

"Saya hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dimaklumkan ahli keluarga terdekat.

"Selepas mendapat perkhabaran sedih itu,  saya ke tempat kemalangan dan melihat jenazah adik terbujur di atas jalan raya sebelum dibawa ke hospital untuk urusan bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, anak ketujuh dari sembilan beradik yang sedang belajar di Sekolah Menengah Agama Ar Rahman, Paloh itu sangat rapat dengan keluarga dan mempunyai sifat ceria.

"Dua tiga hari sebelum kejadian, Muhammad Daniel berkelakuan lain dan tidak banyak bercakap tetapi kami tidak menyangka ia adalah petanda akan meninggalkan kami selamanya," katanya.

Ketiga-ketiga jenazah akan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Mas, Tanah Perkuburan Islam Alor Pasir dan Tanah Perkuburan Bukit Gading.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel