Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tindakan Kelantan tarik balik saman royalti bukti semangat federalisme - Azmin


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





KOTA BHARU, 9 Julai (Bernama) -- Tindakan kerajaan Kelantan menarik balik saman terhadap kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berkaitan tuntutan royalti minyak membuktikan semangat federalisme yang terjalin antara negeri dan Persekutuan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan Pusat dengan itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kelantan yang mahu isu tuntutan royalti itu dapat diselesaikan dengan baik demi kebaikan bersama.

"Bagi pihak Pusat kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan yang mengambil inisiatif menarik semula saman pada 28 Jun lalu dan ia telah selesai (di mahkamah).

"Ia membuka ruang kukuh semangat federalisme diantara Kelantan dan Pusat seperti mana yang dikehendaki Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang mahu melihat suasana kondusif dapat diwujdukan," katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu Mohamed Azmin bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mempengerusikan mesyuarat  Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan di Bilik Gerakan Negeri, Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Pada 28 Jun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan pertikaian berhubung isu tuntutan royalti minyak membabitkan Kelantan dan Kerajaan Persekutuan selesai apabila Kerajaan Negeri menarik balik tuntutan saman yang difailkan sembilan tahun lepas melalui notis pemberhentian.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache membatalkan saman berkenaan tanpa sebarang perintah berhubung kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Mengulas perkara itu lagi Mohamed Azmin berkata kerajaan Persekutuan akan menyegerakan pembayaran royalti kepada Kelantan apabila semua perkara berbangkit selesai.

Ahmad yang diminta mengulas perkara yang sama berkata kerajaan Kelantan telah memenuhi segala syarat-syarat untuk mendapatkan royalti minyak itu dan yakin kerajaan negeri akan menikmati royalti berkenaan tidak lama lagi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel