Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Parit tidak sempurna jejas sawah di Tunjang


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





JITRA, 9 Julai (Bernama) -- Seramai 13 orang petani di Kampung Pulau Maharaja, Tunjang, di sini merayu pihak berkenaan supaya mengatasi segera masalah sistem perparitan yang gagal membekalkan air mencukupi ke kawasan sawah yang diusahakan mereka.

Salah seorang petani itu, Azmi Mat Napia, 57, berkata binaan pada sistem perparitan yang mula beroperasi sejak setahun lalu itu didapati tidak sempurna apabila saluran atau lubang yang bertujuan menyalurkan air dari parit ke kawasan sawah tidak dapat berfungsi.

“Ada saluran atau lubang air dibina terlalu tinggi sedangkan paras air di parit tersebut tidak mencapai tahap itu dan ada pula lubang yang dibina terlalu rendah menyebabkan air masuk ke kawasan sawah sehingga bertakung.

“Macam saya sendiri, apabila parit dibina itu rendah sama paras dengan bendang, air mengalir masuk dan bertakung di bendang saya menyebabkan tanaman mati dan saya terpaksa menanggung kerugian mengeluarkan kos tambahan untuk membeli benih baharu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pembinaan sistem perparitan di kawasan itu merupakan projek di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dibina oleh sebuah syarikat kontraktor di negeri ini dan diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai agensi menguruskannya.

Azmi berkata, beliau berasa terkilan kerana projek itu yang diharapkan dapat meningkat pengeluaran padi di kawasan itu, kini menjadi projek yang menyusahkan petani yang dakwanya disebabkan oleh kegagalan pihak kontraktor membuat kajian terperinci terhadap struktur muka bumi di situ.

“Kita menyambut baik projek ini, tetapi mereka (kontrakaktor) buat parit tidak mengambil kira kedudukan sawah sama ada rendah atau tinggi, jadi sistem yang dibuat ini menjadi sia-sia,” katanya.

Seorang lagi petani yang terjejas Ahmad Hashim, 67, berkata masalah yang dihadapi menyebabkan dia terpaksa menggunakan pam air bagi membekalkan air ke sawahnya agar pertumbuhan tanamannya tidak terbantut.

“Benih padi yang ditabur memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan bekalan air yang mencukupi, jadi disebabkan masalah ini kami petani terpaksa berulang-alik ke bendang dengan lebih kerap untuk memastikan bekalan air ke bendang mencukupi.

“Contohnya macam saya, apabila nak guna air terpaksa sekat air di dalam parit itu supaya paranya menjadi tinggi dan air boleh melimpah masuk sawah, jika tidak sekat saya tak dapat air dan tanaman akan mati,” katanya yang mengusahakan kira-kira dua hektar sawah.

Turut terjejas Shukor Ahmad, 54, yang mahu pihak berkenaan untuk meninjau semula projek itu memandangkan ada bahagian yang dilihat belum disiapkan sehingga menimbulkan masalah kepada petani yang terlibat.

“Ada kawasan tiada jalan masuk ke kawasan sawah sehingga menyukarkan petani untuk ke bendang,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel