Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Masyarakat Orang Asli berhampiran Kuala Koh sambut baik penarikan Zon Merah


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





GUA MUSANG, 9 Julai (Bernama) -- Lebih 300 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi, di sini, menyambut baik penarikan balik Zon Merah yang dikenakan terhadap Kampung Kuala Koh yang terletak berjiran dengan mereka sejak pagi semalam. 

Ia sekaligus membuktikan kampung Kuala Koh kini bebas daripada dijangkiti penyakit demam campak yang menjadi kebimbangan penduduk di kampung berjiran itu.

Tok Batin kampung itu, Bolek Lilin, 75, berkata, penularan penyakit di Kampung Kuala Koh turut meresahkan penduduk di kampung berhampiran kerana bimbang menerima tempias daripada penyakit demam campak. 

Beliau berkata, sejak penularan wabak penyakit itu, penduduk terpaksa mengehadkan pergerakan mereka untuk mencari rezeki.

Katanya, anak-anak mereka juga terpaksa dikurung dalam rumah dan cepat-cepat dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan jika mendapati keadaan kesihatan terjejas termasuk batuk dan demam. 

"Kami di kampung ini turut gembira apabila Kampung Kuala Koh sudah diisytihar bebas daripada penyakit demam campak dan sekali gus mereka bebas bergerak ke mana sahaja tanpa ada rasa bimbang lagi," katanya. 

Mulai jam 8 pagi semalam, polis mengumumkan penarikan balik semula Zon Merah di Kampung Kuala Koh sejak 12 Jun lalu selepas Kementerian Kesihatan mendapati Orang Asli suku Batek di kampung itu telah bebas daripada penyakit berjangkit demam campak. 

Bermula awal Mei lalu 15 Orang Asli suku Batek daripada kampung itu meninggal dunia manakala 112 orang lagi yang dijangkiti penyakit itu menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Seorang Orang Asli suku kaum itu di Kampung Pasir Linggi, Mohd Glang Sakarwi, 40, berkata, sebagai penduduk kampung sejiran, beliau  tidak senang hati apabila dimaklumkan rakan kampung itu seramai 15 orang dilaporkan meninggal dunia kerana jangkitan penyakit terbabit. 

Katanya, berikutan keadaan itu, beliau bersama rakan yang lain juga terpaksa menghentikan segala aktiviti luar termasuk pergi ke kawasan hutan mencari rezeki. 

"Sebaik kami dimaklumkan kampung jiran itu sudah dibebaskan daripada Zon Merah pagi semalam, mulai pagi ini kita juga turut bebas dan mula menyambung semula mencari rezeki di hutan," katanya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel