Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bomba selamatkan wanita patah kaki ketika mendaki Air Terjun Chemerong


Tarikh kemaskini: 09/07/2019





Oleh Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli

DUNGUN, 9 Julai (Bernama) -- Seorang wanita yang patah kaki kiri ketika mendaki di Air Terjun Chemerong, di sini diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) Zul Azman Jamaluddin berkata mangsa Noraini Osman, 49, mengalami kecederaan itu selepas kakinya tersangkut pada akar pokok dan tersungkur.

"Ketika tiba di kawasan Bukit Taubat kaki mangsa dikatakan tersangkut di akar pokok dan dengan beban barangan yang dibawanya, kedudukan mangsa jadi tidak stabil lalu terjatuh dan menyebabkan kecederaan pada kaki kiri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Zul Azman berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 12.59 tengah hari semalam dan 17 anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Tiga anggota bomba bersama tiga anggota polis dan tiga malim gunung telah ke lokasi mangsa di Bukit Taubat dan mangsa berjaya dibawa turun ke kaki air terjun terbabit kira-kira pukul 10.46 malam dan dibawa ke klinik kesihatan AMBS," katanya.

Menurut Zul Azman pihak bomba terpaksa mendaki selama tiga hingga empat jam untuk sampai ke lokasi mangsa dan pihaknya mengalami kesukaran membawa turun mangsa ke kaki gunung ekoran laluan yang curam serta licin disebabkan hujan.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan pada pukul 11 malam tadi.

Mangsa yang berasal dari Pulau Pinang dikatakan telah mendaki Chemerong, Gunung Berembun dan Langsir (CBL) sejak Sabtu lepas bersama 23 orang rakan dan seorang malim gunung.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel