Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hanya seorang dapatkan rawatan saringan sesak nafas hari ini - Exco


Tarikh kemaskini: 08/07/2019





JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Hanya seorang pesakit mendapatkan rawatan saringan di Klinik Kesihatan Masai berhubung masalah sesak nafas dan muntah-muntah setakat 4 petang ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Menegaskan tiada pesakit dimasukkan ke wad, beliau berkata setakat ini keadaan di Pasir Gudang, yang terkesan akibat masalah pencemaran sejak 20 Jun lepas, adalah terkawal.

Tiada butiran lanjut diperoleh mengenai pesakit berkenaan.

“Secara keseluruhan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menyiasat dan mengambil tindakan terhadap 221 premis industri mengikut kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Khuzzan berkata sehingga kini, 116 kompaun sudah dikeluarkan kepada premis berhubung kesalahan buangan terjadual, efluen perindustrian (10 kompaun), notis arahan bagi mematuhi segala perundangan alam sekitar (53 notis) serta kumbahan tangki septik (satu kompaun).

Sebanyak 11 premis industri diberi perintah tahan operasi manakala tiga premis lagi disyorkan untuk diambil tindakan mahkamah.

Mohd Khuzzan berkata dalam masa sama, pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) turut memutuskan untuk melanjutkan tempoh pemantauan kualiti udara di 111 sekolah di Pasir Gudang, hari ini.

Beliau berkata susulan itu, JAS membuat penyerahan semula MultiRAE Gas Detector kepada pihak sekolah terbabit untuk digunakan sehingga 13 Julai.

Beliau menasihati orang ramai yang melihat atau mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkenaan pembuangan sisa toksik secara haram supaya membuat aduan kepada JAS di talian bebas tol 1800882727 atau melalui eaduan.doe.gov.my.

"Sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat, sila hubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di talian 07-2511 024,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel