Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia perlu aktif dan proaktif dalam perkukuh hubungan dua hala dengan China


Tarikh kemaskini: 08/07/2019





PETALING JAYA, 8 Julai (Bernama) -- Malaysia perlu aktif dan proaktif dalam mengukuhkan hubungan dua hala dengan China berikutan terdapat banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan, terutamanya di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram berkata bagaimanapun, hubungan yang erat antara kedua-dua negara itu perlu berdasarkan kepada hubungan sama rata dan tidak berat kepada satu pihak sahaja.

“Kita tidak mahu hubungan seperti yang terjadi kepada negara besar yang lain di mana kita seolah-olah dijadikan alat dalam politik mereka.

“(Sebagai contoh hubungan) yang kita peroleh manfaat menerusi pelaburan syarikat China di Malaysia ialah (kerjasama strategik) antara Geely dan Proton,” katanya kepada pemberita di luar Forum Unjuran Malaysia-China 2019 di sini, hari ini.

Jomo berkata Geely sebagai rakan kongsi strategik asing memberi prospek yang besar kepada Malaysia terutamanya dalam pasaran kereta pemanduan sebelah kanan di Asia Tenggara berikutan status Proton sebagai hab pengeluaran global bagi model kereta tersebut.

Sehingga kini, semua produk kenderaan Geely adalah pemanduan sebelah kiri.

“Kalau kita berjaya dalam strategi ini, kita boleh jadi seperti Thai Rung di Thailand. Kita memerlukan seseorang, mungkin Perdana Menteri, untuk menasihati Proton tentang cara lebih baik untuk berunding (berikutan) sekarang, ia bukan dimiliki kerajaan," katanya.

Pada Mei tahun lepas, DRB-Hicom Bhd menjual 49.9 peratus kepentingannya dalam Proton Holdings Bhd dan 51 peratus saham dalam Lotus kepada Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel