Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

JKKN Kedah mahu pentas 'Jikey' kembali rancak


Tarikh kemaskini: 08/07/2019




ALOR SETAR, 8 Julai (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah, mahu pentas 'Jikey' kembali rancak dan dikenali terutamanya dalam kalangan generasi muda di negeri ini, bagi ‘menyegarkan’ semula satu daripada persembahan tradisional Melayu yang semakin malap itu.

Pengarah JKKN negeri, Mohd Rizal Ismail berkata Jikey bukan sahaja satu persembahan yang sangat menghiburkan, malah ia menjadi lambang perpaduan kaum di negara ini kerana turut menampilkan watak lakonan pelbagai bangsa seperti Cina dan India.

"Mungkin ada yang akan menyamakan persembahan Jikey dengan Mak Yong, namun sebenarnya ia berbeza daripada aspek watak, jalan cerita, gerak tari, melodi serta peralatan muzik yang digunakan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya Jikey sangat popular di Kedah dan Perlis pada sekitar 60-an malah ia juga popular di selatan Thailand yang dikenali sebagai 'Likey'.

Mohd Rizal berkata Jikey biasanya dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal berkonsep 'usik-mengusik' (komedi) dengan dialog kelakar dan biasanya barisan pelakonnya memakai topeng atau kostum yang melucukan.

"Antara watak-watak utama dalam persembahan Jikey adalah lelaki benggali, pelawak, raja dan wira," katanya yang memberitahu hanya dua kumpulan Jikey yang masih aktif pada masa ini di Kedah iaitu di Langkawi.

Mohd Rizal berkata bagi mempopularkan semula Jikey, pihaknya sering mementaskannya pada program-program anjuran JKKN selain mengadakan program perantisan Jikey bagi mengajar generasi muda tentang seni persembahan itu.

"Biasanya mereka akan belajar dalam tempoh enam bulan dan di akhir tahun, kami akan minta kumpulan yang dilatih membuat persembahan bagi mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari," katanya.

Katanya persembahan Jikey dalam masa terdekat akan diadakan pada Temasya 'Oghang' Kedah yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Julai ini di Dataran Sungai Korok di Jitra.

"Persembahan Jikey akan diadakan pada malam kedua temasya (26 Julai) dan kami menjemput orang ramai hadir untuk menyaksikan teater ini nanti," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

 
     

Wabak coronavirus tidak jejas tahun melawat Johor -- Exco pelancongan

 
     

Ibu tunggal didakwa bunuh anak sendiri

 
     

Tiada rancangan laksanakan kajian mansuh butiran agama pada kad pengenalan - KDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2020 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel