Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tragedi Kuala Koh: Kampung sunyi selepas status zon merah ditarik


Tarikh kemaskini: 08/07/2019





GUA MUSANG, 8 Julai (Bernama) -- Kampung Kuala Koh, yang menjadi penempatan Orang Asli suku Batek sunyi selepas kampung itu yang berada dalam kawasan larangan zon merah berikutan jangkitan wabak demam campak, ditarik balik mulai 8 pagi ini.

Ini apabila hanya terdapat 30 daripada 185 Orang Asli suku Batek berada di rumah masing-masing manakala 155 orang lagi yang dijangkiti penyakit itu ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani sebelum dibebaskan zon merah.

Bagaimanapun, Penghulu Orang Asli Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok, 40, berkata rata-rata penduduk suku Batek lega selepas kampung berkenaan dibebaskan daripada kawasan zon merah.

Beliau berkata, pergerakan suku Batek dikawal ketat bagi menghalang mereka daripada berpindah ke kawasan lain termasuk di hutan kerana bimbang dengan penularan penyakit berjangkit itu.

"Mereka yang ditempatkan di PPS Etnobotani mendapat rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Koh, di sini, pagi ini. 

Mulai 8 pagi ini, polis menarik balik status zon merah kampung itu selepas Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Gua Musang mengesahkan penduduk Orang Asli suku Batek di situ selamat daripada jangkitan demam campak. 

Kampung itu dikenakan pengawasan dalam zon merah sejak 12 Jun lepas selepas penyakit berjangkit  itu meragut 15 nyawa manakala 112 lagi menerima rawatan di hospital dan klinik kesihatan berhampiran. 

Mohamad berkata, ada rumah penduduk suku Batek di kampung berkenaan kosong selepas kebanyakan mereka yang menerima rawatan di HGM dan HKK dikuarantin dan ditempatkan di PPS untuk pemantauan berterusan. 

Penduduk suku Batek juga menunggu pelbagai pihak untuk bergotong-royong membersih kawasan rumah dan kampung tetapi belum pasti bila akan diadakan, katanya sambil menambah sekarang masa terbaik berbuat demikian kerana bilangan penduduk berada di rumah tidak ramai. 

Seorang penduduk suku Batek, Mamat Ong, 30, berkata, suasana kampung berkenaan tidak lagi ceria seperti sebelum ini kerana bilangan mereka sudah tidak ramai manakala rakan-rakan yang berada di PPS tidak tahu boleh dibenarkan pulang. 

Katanya, mereka kini hanya tinggal 30 orang sahaja yang ada di rumah dan setiap hari berkumpul untuk memikirkan bagaimana meneruskan kehidupan selepas dibebaskan daripada zon merah. 

"Bagi keperluan makanan,  kami semua tidak ada masalah kerana pelbagai pihak memberikan bantuan," katanya. 

Guru Agama Orang Asli, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Mohd Fadzil Mamok pula berkata, walaupun kampung itu telah bebas daripada zon merah tetapi penduduk sudah diberi nasihat supaya mengubah cara hidup dan mengawal dahulu pergerakan. 

"Walaupun sudah bebas, kita perlu mengambil iktibar tragedi dijangkiti penyakit dan kita juga perlu bersedia bekerjasama membersih rumah dan kampung untuk kehidupan yang lebih sihat," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel