Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

26 kertas siasatan kesalahan pembuangan sisa pepejal di kawasan haram dikeluarkan SWCorp


Tarikh kemaskini: 08/07/2019





JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor membuka 26 kertas siasatan bagi urusan pendakwaan di mahkamah untuk kesalahan berkaitan pembuangan sisa pepejal di kawasan tidak dibenarkan di negeri ini sejak 2018 hingga kini.

Pengarahnya Cairul Hisham Jalaluddin berkata daripada 26 kertas siasatan, 12 syarikat telah didakwa, termasuk tiga yang didakwa pada hari ini.

“Di Johor, kita sudah buka 26 kertas siasatan, 12 telah didakwa jadi 14 lagi dalam penyediaan kertas siasatan.

“Hari ini untuk sebutan kes, ada empat pertuduhan melibatkan tiga syarikat, semua mengaku bersalah dan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM45,000,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini.

Antara alasan yang sering diberikan syarikat dan pelaku kesalahan adalah jarak tempat pelupusan sanitari yang jauh dan melibatkan kos yang tinggi di mana bagi  kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Kulai, tempat pelupusan sisa pepejalnya adalah di Tapak Pelupusan Sanitari di Seelong manakala bagi kawasan Pasir Gudang ialah di Tanjung Langsat.

“Alasan yang diberikan disebabkan jarak ke Seelong terlalu jauh, dan keduanya adalah melibatkan kos yang tinggi di mana kos pelupusan di Seelong  mencecah RM72 satu tan manakala di kawasan lain yang tidak mempunyai tapak sanitari ini cuma RM30 satu tan,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat agar tidak membuang sampah atau sisa ke tempat yang tidak dibenarkan bagi mengelak hukuman denda dan penjara yang boleh dikenakan.

Jika disabitkan kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel