Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga syarikat didenda RM15,000 buang sisa pepejal di kawasan haram


Tarikh kemaskini: 08/07/2019





JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Tiga syarikat kontraktor perkhidmatan kutipan sisa binaan masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah membuang sisa pepejal di kawasan yang tidak dibenarkan di sekitar Johor Bahru, dari Julai 2018 hingga Januari tahun ini.

Hakim Wan Mohd Nor Hisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas Toh Loh Construction Sdn Bhd, Nine Three Three Renovation & Enterprise dan CK Kim Trading selepas ketiga-tiga syarikat itu, melalui wakilnya, mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim.

Toh Loh Construction, yang diwakili pengarahnya, Chung Hoong Kong, didakwa melonggokkan bahan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal binaan di dua lot tanah di Mukim Plentong pada 17 Julai 2018 pada pukul 3.15 petang.

Bagi pertuduhan kedua pula, syarikat terbabit melonggokkan bahan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal isi rumah di kawasan lot yang sama apda waktu yang sama.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, hukuman denda RM15,000 itu hanyalah untuk pertuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua, hakim memberi amaran kepada syarikat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nor Iffa Zarilla Abd Rahman manakala syarikat terbabit diwakili peguam Lu Hon San.

Sementara itu, Nine Three Three Renovation & Enterprise yang diwakili pengurus syarikatnya, Lee Wai Ping, didakwa melonggokkan bahan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal binaan di lot tanah beralamat Lot 2008, Kampung Ladang Darat Mukim Tanjung Kupang, pada 30 Januari 2019 kira-kira pukul 12.00 tengah hari.

Bagi CK Kim Trading, yang diwakili pengarahnya, Lee Keow Heok, syarikat terbabit didakwa melonggokkan bahan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal binaan di lot tanah tanah Rezab Pengaliran Elektrik kepunyaan Tenaga Nasional Bhd, Taman Impian Emas, Mukim Tebrau pada 22 November 2018 kira-kira pukul 11.56 tengah hari.

Untuk pertuduhan itu, kedua-dua syarikat berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 71 (8) akta yang sama.

Hukuman bagi kesalahan itu ialah denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap Nine Three Three Renovation & Enterprise dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SWM Corp  Rubiah Maulud manakala pertuduhan ke atas CK Kim Trading dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SWM Corp Rosmawati Rabiah Hashim. Kedua-dua syarikat itu tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Henry Golding tersenarai dalam Time 100 Next

 
     

Produk plastik satu daripada industri paling rancak di Malaysia - Dr Ong

 
     

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel