Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Terengganu lulus RM1.18 juta untuk 44 petani, penternak dan nelayan


Tarikh kemaskini: 08/07/2019





Oleh Kamaliza Kamaruddin

KUALA TERENGGANU, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.183 juta kepada 44 pemohon siri pertama Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata kesemua 44 pemohon itu adalah individu yang menceburi sektor pertanian, penternakan, akuakultur dan perikanan dengan nilai kelulusan antara RM10,000 sehingga maksimum RM50,000.

"Sektor utama yang mendapat tumpuan pemohon ialah pertanian secara fertigasi, penternakan ayam, itik, lembu dan kambing, pembelian bot serta peralatan menangkap ikan dan pengusaha pembenihan kerapu hibrid.

"Bagi setiap permohonan yang dikemukakan, pegawai-pegawai jabatan berkenaan turun padang untuk membuat lawatan tapak serta penilaian potensi projek sebelum dikemukakan laporan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Bantuan Modal Tani bagi dibuat pertimbangan sebaiknya," katanya kepada Bernama hari ini.

Melalui skim itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi membantu golongan nelayan, penternak dan petani di Terengganu membuat pinjaman patuh syariah di mana tiada sebarang faedah dikenakan kepada mereka.

Mengulas lanjut, Dr Azman, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, berkata tiada permohonan yang ditolak setakat ini, namun pemohon perlu menyelesaikan beberapa perkara seperti lesen bot nelayan yang belum diluluskan, mencari tapak baru yang lebih sesuai untuk diusahakan serta saiz projek yang hendak dilaksanakan.

"Permohonan tidak ditolak... cuma perlu diteliti semula disebabkan ada isu jumlah dana yang dipohon tidak sepadan dengan saiz projek yang hendak dibuat. 

"Jabatan berkenaan akan mengambil tindakan susulan bagi menangani isu-isu yang timbul. Hasrat kerajaan negeri ialah agar semua rakyat yang komited mahu mengubah taraf hidup mereka melalui tiga sektor ini dibantu secara serius," katanya. 

Ketika ini, pemohon siri kedua skim itu sedang diproses dan akan dipertimbangkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Bantuan Modal Tani untuk tindakan lanjut, katanya

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel