Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Raja Puan Muda Kedah berangkat melawat bayi terbuang di HSB


Tarikh kemaskini: 07/07/2019





ALOR SETAR, 7 Julai (Bernama) -- Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff hari ini berkenan berangkat menziarah bayi lelaki yang dibuang di tepi Jalan Jelai di sini Rabu lepas, yang kini ditempatkan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Keberangkatan tiba Raja Puan Muda Kedah ke NICU disambut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh serta Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Sarimah Sudin.

Raja Puan Muda Kedah meluangkan masa kira-kira 40 minit bersama bayi itu serta para doktor dan jururawat sebelum menyampaikan bantuan berupa susu tepung, lampin pakai buang dan pakaian kepada pihak hospital.

Menerusi kenyataannya, Che Puan Muda Zaheeda berharap bakal ibu yang menghadapi masalah agar mendapatkan saluran bantuan yang betul bagi mengelak berlakunya kejadian buang bayi berulang.

Baginda turut menasihatkan agar mereka yang terjejas dapat menghubungi Talian Kasih 15999 yang disediakan kerajaan demi menjaga kebajikan dan keselamatan bayi yang tidak berdosa.

Sementara itu,  Dr Ismail berharap masyarakat sekeliling dapat mengambil iktibar dari kes yang berlaku dan terus meningkatkan pendedahan pendidikan seks dalam kalangan pelajar.

“Raja Puan Muda Kedah turut menekankan peranan keluarga dalam mendidik anak selain perlunya menitikberatkan pendidikan agama, malah mereka harus diberikan pengetahuan mengenai pendidikan seks agar kejadian ini dapat dibendung.

“Inilah yang diluahkan oleh Tuanku kerana baginda sangat prihatin dengan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Che Puan Muda Zaheeda berangkat pulang.

Rabu lepas, seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui masih hidup dan bertali pusat, di dalam kotak di tepi jalan berdekatan sebuah sekolah rendah di sini, pada 8.20 pagi.

Bayi itu ditemui seorang lelaki berusia 40 tahun, kira-kira 100 meter dari Sekolah Kebangsaan Darul Hikmah, Jalan Jelai.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kementerian Pendidikan akan kaji penggunaan alat permainan yang mampu asah minda kanak-kanak

 
     

FAMA rancang bangunkan tanah wakaf dengan tanaman durian

 
     

Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut belum siap sepenuhnya - Chow

 
     

Geran usahawan hanya untuk yang benar-benar layak - Mohd Redzuan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel