Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pengusaha IKS digalak ceburi pengeluaran makanan berasaskan tuna


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menggalakkan pengusaha industri kecil dan sederhana untuk menceburi bidang pengeluaran makanan berasaskan tuna.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata usaha terbabit sebagai satu langkah ke hadapan bagi menampung keperluan permintaan pada masa akan datang selaras dengan industri tuna yang sedang berkembang maju di negara ini.

“Dijangkakan, dengan penggunaan teknologi dan usaha penambahbaikan resepi bersesuaian dengan citarasa tempatan serta promosi berterusan, permintaan terhadap produk baharu seperti stik tuna, sate tuna dan burger tuna boleh mencecah sehingga RM750,000 sebulan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Stik Tuna dan Pembangunan Usahawan Tuna di Restoran Mr Noh, Plaza Angsana di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi.

Salahuddin berkata pengeluaran tuna negara diunjurkan mencecah 130,000 tan metrik tahun depan dengan nilai lebih RM2 bilion.

Sehubungan itu, sebagai langkah galakan usahawan menceburi bidang pengeluaran makanan berasaskan tuna, kementeriannya akan melakukan promosi dan padanan perniagaan secara besar-besaran dengan beberapa pihak.

Beliau berkata kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga akan dilakukan bagi memperkenalkan menu berasaskan tuna di hotel-hotel dan destinasi pelancongan di negara ini.

Orang ramai yang berminat menjadi usahawan dalam bidang berkenaan juga boleh berdaftar dengan Jabatan Perikanan bagi mendapatkan bimbingan, katanya.

“Stik tuna dihasilkan 100 peratus daripada ikan tuna sirip kuning yang lazat dan kaya dengan omega 3, vitamin A, B6, B12 yang tinggi serta rendah kalori sekali gus mempunyai khasiat baik untuk kesihatan jantung.

“Berasaskan nutrien dan khasiat isi ikan tuna ini, stik tuna merupakan satu lagi menu pilihan bagi pengamal diet,” katanya.

Mengenai Restoran Mr Noh yang beroperasi sejak 2016 dan terkenal dengan jualan otak-otak dan nasi beriani, Salahuddin berkata beliau yakin ia bukan sahaja mampu memperkenalkan stik tuna kepada warga tempatan malah pelancong Singapura.   

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel