Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Karnival Kerjaya Johor Bestari tawar kira-kira 4,500 peluang pekerjaan


Tarikh kemaskini: 06/07/2019




JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Kira-kira 4,500 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang menanti pencari kerja bersempena Karnival Kerjaya Johor Bestari yang akan diadakan di tiga lokasi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor dan peringkat akademik.

“Karnival ini akan diadakan di daerah ini (Johor Bahru), Tangkak dan Batu Pahat. Sebelum ini, kita sudah anjurkan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Galleria Johor Bahru, April lepas.

“Jadi, kita akan anjurkan lagi karnival ini untuk rakyat pada Ogos di Tangkak dengan lebih 1,000 tawaran peluang pekerjaan dan 25 penyertaan majikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran Karnival Kerjaya JobsMalaysia peringkat negeri Johor di UTC Pasir Gudang, hari ini.

Aminolhuda berkata selepas Tangkak, karnival itu akan diadakan di bandar raya ini pada September depan yang menawarkan lebih 2,500 peluang pekerjaan melibatkan 40 syarikat manakala di Batu Pahat pada Oktober dengan lebih 1,000 peluang pekerjaan melibatkan 25 majikan.

Beliau berkata karnival terbabit yang dianjurkan kerajaan negeri menerusi Unit Strategik Modal Insan Johor turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor.

Sementara itu, mengenai Karnival Kerjaya JobsMalaysia di UTC Pasir Gudang, hari ini, Aminolhuda berkata ia membabitkan penyertaan 41 majikan dengan menawarkan 1,831 jawatan kosong.

Menurutnya para pengunjung turut berpeluang menghadiri temu duga terbuka, klinik kerjaya, ceramah kerjaya, pameran agensi kerajaan serta khidmat nasihat perburuhan.

“Saya percaya inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu kerajaan mahupun agensi dan sektor swasta mempromosi peluang pekerjaan, malah sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.

“Justeru itu, saya ingin menyeru agar golongan pencari kerja khususnya para belia mengambil kesempatan ini dengan memanfaatkan sepenuhnya peluang-peluang yang terdapat dalam karnival ini,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel