Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelajar Kelantan wakili negara ke pertandingan IBBC


Tarikh kemaskini: 06/07/2019




KOTA BHARU, 6 Julai (Bernama) -- Pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra, Ahmad Darwisy Shaifuzain, 17, bakal mewakili Malaysia ke International Brain Bee Championships (IBBC) anjuran International Brain Research Organisation (IBRO) di Daegu, Korea Selatan September ini.

Pelajar itu terpilih selepas muncul juara keseluruhan pertandingan Malaysia Brain Bee Challenge (MBBC) tahun ini.

Ahmad Darwisy menggondol kemenangan itu selepas mengalahkan 47 peserta lain dari 37 buah sekolah menengah seluruh negara dan sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM6,000.

“Saya tidak menyangka akan memenangi pertandingan ini kerana semua peserta memberi saingan yang sengit dan masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri. Apa pun saya amat bersyukur kerana akhirnya berjaya menjadi juara selepas tiga kali memasuki pertandingan MBBC,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah MBBC sempena Persidangan Neurosains Kebangsaan Ke-29 yang disampaikan Penyelaras MBBC Kebangsaan Prof Madya Dr Muzaimi Mustapha di sini, hari ini.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, Seremban, Negeri Sembilan, Ong Kang Howe, 17, yang turut merangkul Anugerah Al-Biruni manakala tempat ketiga dimenangi pelajar SMK St Joseph, Sabah, Alvin Daniel Brata Laurio, 17 tahun.

Anugerah Al-Biruni diperkenalkan pada 2014 sempena mengingati tokoh ilmuan Islam yang diiktiraf sebagai seorang saintis pada usia 17 tahun iaitu Abu Al-Rayhan Muhammad Ibn Ahmad Al-Biruni.

MBBC adalah satu daripada inisiatif perkongsian ilmu neurosains daripada projek perdana libat sama BrainBee@USM Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM) yang mula diperkenalkan pada 2012.

Dalam pada itu, Ahmad Darwisy berkata beliau akan mendapatkan bantuan daripada pensyarah jabatan neurosains USM bagi mendalami ilmu berkaitan bidang sains itu sebagai persiapan menyertai pertandingan IBBC. 

“Oleh kerana pertandingan tersebut agak dekat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya akan cuba membahagikan masa sebaik mungkin demi mencapai impian saya mengharumkan nama negara,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar perubatan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel