Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pembangunan rangkaian akses pengangkutan antara cadangan IRDA pada taklimat bersama PM


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Penambahbaikan dan pembangunan rangkaian akses pengangkutan bagi menghubungkan kawasan-kawasan di negeri ini termasuk Iskandar Malaysia, merupakan antara cadangan yang dikemukakan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) pada taklimat tertutup bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, malam tadi.

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata perkara itu penting bagi menampung pembangunan di negeri ini pada masa hadapan, yang merangkumi pelbagai mod pengangkutan termasuk rel, jalan raya, laut dan darat.

"Ini (penambahbaikan dan pembangunan akses pengangkutan) tidak semestinya hanya tertumpu kepada projek Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) sahaja. Ia seperti lebuh raya, jalan-jalan yang menghubungkan antara pusat bandar, bukan sahaja di Iskandar Malaysia, bahkan di seluruh negeri Johor.

"Kita melihat kepada aspek seperti Lebuhraya Utara Selatan yang menghubungkan bukan sahaja Iskandar Malaysia, malah diseluruh negeri Johor dan di serata Semenanjung Malaysia. Kita perlu melihat bagaimana lebuh raya sekarang ini boleh menampung penggunaan berasaskan kepada pembangunan yang berlaku di Johor ini untuk masa terdekat dan masa hadapan," katanya yang ditemui pemberita, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sesi taklimat tertutup IRDA bersama Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersama IRDA berhubung kemajuan pembangunan Iskandar Malaysia, di sebuah hotel dekat Kulai, malam tadi.

Sesi taklimat berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Pengerusi Bersama IRDA dan Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Ahli Lembaga IRDA Datuk Azmi Rohani.

Ismail berkata selain rangkaian akses pengangkutan, antara cadangan dan pandangan dikemukakan IRDA pada sesi taklimat itu turut merangkumi isu pembangunan insan, isu meningkatkan kapasiti perniagaan berasaskan kepada komuniti dan juga peluang-peluang perniagaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata Dr Mahathir menerima segala pandangan dan cadangan IRDA terbabit selain pada masa sama, Perdana Menteri turut memberikan pandangan dan cadangan bagaimana Kerajaan Pusat dan IRDA boleh bersama-sama menangani isu-isu dibangkitkan.

Katanya walaupun sesi taklimat bersama Perdana Menteri itu bukan kali pertama diadakan, namun, ia amat dihargai pihak IRDA.

"Tun (Dr Mahathir) mengambil positif usaha-usaha yang dijalankan di Iskandar Malaysia dan beliau menaruh kepercayaan bahawa Iskandar Malaysia diharapkan akan terus maju seperti mana yang dirancang berdasar kepada visi Iskandar Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel