BQFStjmzExw Belum pasti Myokymia berpunca daripada pencemaran toksik - Dr Dzulkefly
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Belum pasti Myokymia berpunca daripada pencemaran toksik - Dr Dzulkefly


Tarikh kemaskini: 06/07/2019





PORT DICKSON, 6 Julai (Bernama) -- Punca penyakit dihidapi Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, belum dapat dipastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Myokymia yang dihidapi Irfan Wafiy tidak semestinya berpunca daripada bahan kimia justeru beliau akan melawat keluarga Irfan Wafiy bagi memberi penjelasan yang lebih teliti bersama pakar Paediatrik Neurologi. 

“Saya akan melawat keluarga Irfan Wafiy dalam masa terdekat ini sekali gus untuk memberi penjelasan. Saya akan ambil semua tanggungjawab untuk pastikan ibu ayah Irfan Wafiy diberikan penjelasan yang sebaiknya.

“Jangan salah faham, bila orang dengar Myokymia seolah-olah ia disebabkan kimia, tidak semestinya begitu kerana banyak kemungkinan punca penyakit ini, akan jadi masalah kalau awam tidak berapa faham mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di sini, hari ini. 

Dr Dzulkefly dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa Irfan Wafiy akan dirawat oleh pakar Paediatrik Neurologi. 

Irfan Wafiy, anak keempat daripada lima beradik disahkan menghidap Myokymia iaitu penyakit saraf seakan-akan Parkinson yang dipercayai selepas terdedah dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Mac lepas.

Pada 7 Mac, 103 pelajar dan penduduk di sekitar Sungai Kim Kim sakit dan dimasukkan ke hospital akibat terhidu gas beracun. Selepas penyiasatan awal dibuat, pihak berkuasa mengenal pasti puncanya ialah daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim. 

Pada 11 Mac 2019, gelombang kedua tindak balas gas beracun daripada bahan kimia di Sungai Kim Kim bermula. Seramai 106 mangsa baharu dimasukkan ke hospital dengan jumlah mangsa mencecah 1,000 orang beberapa hari kemudian, dan lapan daripadanya dimasukkan ke unit rawatan rapi. 

Pada 20 Jun pula, pelajar sekolah di Pasir Gudang mengalami gejala sesak nafas dan Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata sehingga 5 petang semalam, kumulatif kes kejadian sesak nafas di Pasir Gudang ialah 1,138 orang iaitu 1,093 menerima rawatan pesakit luar dan 45 orang dimasukkan dalam wad dan tiada kes baharu dilaporkan. 

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

KV Keningau raih pingat perak pada pertandingan inovasi di Singapura

 
     

Kerajaan negeri Perak bangunkan projek pembangunan koridor persaraan

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Melaka turun RM3.6 juta tahun lepas

 
     

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel